Klopp dedah perancangan bersara
JURGEN Klopp mendedahkan perancangannya untuk mengambil sabatikal selama setahun sebaik kontraknya bersama Liverpool berakhir pada 2024, tetapi berkata, dia mungkin akan terus bersara selepas menaburkan khidmatnya di Anfield.
Saham Klopp sebagai pengurus bola sepak sentiasa berada pada tahap tertinggi selepas dia menerajui Reds menjulang trofi Liga Juara-Juara, musim lepas dan kemudian diikuti kejayaan Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.
Meskipun dia berjaya membentuk sebuah pasukan berpengaruh di Merseyside, warga Jerman itu berkata, dia akan kekal untuk tempoh empat tahun lagi bersama Reds sebelum berundur daripada sukan bola sepak sepenuhnya untuk selama 12 bulan.
Bagaimanapun, pengurus berusia 53 tahun itu, yang dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik Musim 2019/20 berkata, dia mungkin berundur terus daripada pengurusan bola sepak, jika dia tidak ada lagi keinginan untuk kembali bergelar jurulatih sewaktu berehat.
Bercakap tentang masa depannya kepada Sport Buzzer, dia memberitahu: “Saya akan bercuti selama setahun dan bertanya kepada diri saya jika saya masih merindui bola sepak. Jika saya berkata tidak, maka ia merupakan penamat kepada jurulatih Jurgen Klopp.
“Jika satu hari nanti saya tidak lagi bergelar jurulatih, ada satu perkara yang saya tidak akan rindu: kekejaman tekanan yang saya tanggung sebelum perlawanan.”
Meskipun ia merupakan satu perancangan jangka panjang, fokus Klopp masih bertumpu ke arah kempen baru bersama Liverpool.
Walaupun, mereka berjaya merangkul gelaran Liga Perdana, pengurus warga Jerman yang popular itu masih tetap menuntut lebih daripada pasukannya.
“Keseluruhan kelab masih bersemangat tinggi untuk musim baru, kami mahu bermain lebih baik.
“Kami mahu mengejar lawan kami dan bola di seluruh padang, serta meneruskan menjadi sebuah pasukan lawan yang tidak digemari untuk ditentang.
“Kami tidak mempertahankan sebarang gelaran, kami cuma mahukan yang baru, kami baru sahaja memulakan rentak kemenangan,” tegas Klopp. – Daily Mail UK – SM