NasionalParlimen

KKM siasat bayi dirampas kerana status ibunya tiada kerakyatan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menyiasat dakwaan “bayi dirampas” kerana status ibunya yang tiada kerakyatan yang didakwa berlaku di sebuah hospital kerajaan di Sabah, baru-baru ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan sama ada awam mahupun swasta.

“Saya setuju perkara seperti ini tak sepatutnya berlaku di hospital kerajaan, bagi saya ‘no wrong door policy’ ini kita perlu laksanakan baik-baik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Zaliha berkata demikian bagi menjawab soalan Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang meminta penjelasan kerajaan berhubung isu tersebut.

Pada 16 September lalu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah dilaporkan membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan kononnya berlaku kes ‘merampas bayi’ di hospital di negeri itu seperti dilaporkan oleh sebuah portal berita.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Asits Sanna berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan segera susulan laporan portal tersebut.

Mengulas lanjut, Zaliha berkat,a pihaknya akan meneliti laporan polis yang dibuat termasuk bersemuka dengan petugas di hospital tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut dan melakukan penambahbaikan.

“Perlu ada empati apabila kita melaksanakan tugas-tugas kita yang berkaitan penyampaian kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Zaliha memaklumkan dalam memenuhi Perjanjian Malaysia 1963, sebanyak 10 projek pembinaan fasiliti kesihatan dan sembilan projek naik taraf kemudahan sedang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, terdapat 9 buah hospital di Sabah dan 11 buah hospital di Sarawak yang akan dinaiktaraf perkhidmatan kepakarannya termasuk pemerkasaan bagi hospital berpakar sedia ada,” katanya.

Berkaitan isu kekurangan doktor di Sarawak pula, KKM akan memberi keutamaan kepada anak kelahiran Sarawak untuk ditempatkan secara lantikan tetap atau kontrak bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Menyentuh berkaitan kesesakan pesakit di hospital, beliau berkata kerajaan akan mengambil langkah segera dengan memantapkan Unit Pengurusan Katil, mewujudkan ‘discharge lounge’ untuk menyediakan katil bagi mereka yang memerlukan dan menambah baik masa discaj.

KKM juga memperluas penggunaan teknologi seperti inisiatif EMWatch yang berpotensi mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma khususnya di wad pemerhatian dengan membenarkan pesakit dipantau secara maya dan preskripsi ubat secara dalam talian.

“Selain itu, kerajaan akan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang fungsi Jabatan Kecemasan & Trauma bagi merawat kes-kes kecemasan, di mana pesakit-pesakit bukan kecemasan boleh mendapatkan rawatan di klinik-klinik berdekatan,” katanya. – SM

BACA Menteri Kesihatan mengadakan lawatan tapak ke Fasiliti Kesihatan Bintulu

BACA Dr Zaliha bentang Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button