KJ hilang ingatan sekejap selepas insiden langgar lubang
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hilang ingatan seketika, selepas mengalai insiden melanggar lubang di jalan raya ketika melakukan aktiviti berbasikal semalam.
Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu, dia tidak dapat mengingati perincian lanjut insiden tersebut kerana mengalami kesan hilang ingatan sementara, selepas terpaksa ditempatkan di hospital semalaman.
“Saya sampai sekarang tak ingat apa yang jadi semalam. Yang saya ingat, bila sudah sampai ke hospital.
“Doktor kata ia disebabkan gegaran ketika jatuh daripada basikal. Saya masih bernasib baik, tetapi simpati kepada rakyat kerana inilah yang jadi pada orang biasa,” kata Khairy Jamaluddin seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Menurut Khairy Jamaluddin, dia memuat naik gambar insiden berkenaan di Twitternya hanya kerana mahu memberi amaran kepada pengguna lain agar berhati-hati.
Dan dia tidak menyangka perkongsian di Twitter itu turut menarik perhatian Jabatan Kerja Raya Kuala Langat yang meminta maaf atas ke jadian yang dialami beliau.
“Niat saya semalam memuat naik insiden ini di Twitter ialah untuk beri peringatan kepada pengguna jalan lain, namun ia nampaknya mendapat perhatian JKR.
“Saya berterima kasih kepada JKR kerana peka dengan isu ini, tetapi janganlah hanya disebabkan saya menteri, baru nak ambil berat,” kata Khairy Jamaluddin.
Sementara itu Khairy Jamaluddin turut menggesa agar kualiti jalan raya dipertingkatkan supaya tidak ada lagi pengguna yang menjadi mangsa.
Menurutnya ada rakyat yang cedera parah termasuk kamu akibat terlanggar lubang di atas jalan raya.
Tegas beliau, pihak terbabit tidak seharunya menunggu terlalu lama untuk menurap atau menutup lubang yang berlaku.
“Kalau kita nampak, boleh elak. Tetapi saya yang berbasikal, dengan kelajuan maksimum 40 kilometer sejam pun tak nampak. Apatah lagi penunggang motosikal?,” katanya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut mencadangkan agar sebuah portal aduan khas secara dalam talian perlu diwujudkan bagi menangani isu ‘lubang maut’ pada jalan di seluruh negara.
Cadangan itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kerja Raya dalam tempoh terdekat.-SM