Nasional

KJ dipilih Naib Presiden Persidangan Kesihatan Sedunia ke-75

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin telah dipilih sebulat suara sebagai Naib Presiden Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 yang akan berlangsung dari 22-28 Mei 2022 di Geneva.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelantikan tersebut dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Wilayah (RCM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke-17 bagi Wilayah Pasifik Barat di Himeji Jepun,

“Ia sememangnya satu penghormatan besar bagi Malaysia untuk diberikan jawatan Naib Presiden WHA dan kami akan mengambil peluang ini untuk meneruskan peranan yang lebih besar dalam kesihatan global.

“Secara kebetulan Malaysia juga berkhidmat dalam lembaga eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia dari 2021 hingga 2024,” katanya di Twitter.

WHA terdiri daripada 194 negara anggota dan ia merupakan badan pembuat keputusan tertinggi WHO.

Menurut Dr. Noor Hisham, Malaysia diberi pengiktirafan yang sewajarnya atas peranan aktifnya dalam platform kesihatan global dalam WHA ke-69 pada 2015 dan sekali lagi dalam WHA ke-75 akan datang pada 2022 mewakili semua 37 negara anggota dari WPR.

Sementara itu Khairy Jamaluddin mengucapkan terima kasih atas pemilihan Malaysia bagi menduduki kerusi Naib Presiden WHA tersebut.

Dalam ciapan di Twitter, KJ berkata, beliau akan mengetengahkan prinsip ekuiti, perpaduan dan akauntabiliti dalam mesyuarat tersebut.

“Terima kasih kepada semua @WHOWPRO negara kerana sebulat suara mencalonkan Malaysia sebagai Naib Presiden untuk Perhimpunan Kesihatan Sedunia 2022.

“Kami akan membawa suara Pasifik Barat ke perhimpunan dunia terutamanya mengenai prinsip ekuiti, perpaduan dan akauntabiliti,” katanya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button