Berita

Raja Muda Perlis ingatkan jangan tangguh sebarang urusan

Setiap organisasi baik awam mahupun swasta hendaklah sentiasa mempraktikkan nilai kesegeraan dan tidak bertangguh atau melambat-lambatkan sesuatu kerja yang perlu dibuat.

Apa sekalipun penugasan mestilah dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab, dedikasi dan amanah.

Sebarang inisiatif besar pula hendaklah kukuh dalam sistem penyelarasan di setiap peringkat perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan juga penilaiannya. Sekiranya penyelarasan tidak dipantau dengan cekap, ia pasti akan menyumbang kepada kelewatan atau kegagalan pelaksanaan usaha tersebut.

Setiap organisasi juga mestilah sentiasa peka dengan dinamik semasa dan berkemampuan serta mahu melakukan adaptasi cepat dan susulan yang kreatif dan inovatif. Sekiranya tidak sensitif dengan dinamik dan tuntutan semasa akan menyumbang kepada kegagalan outputnya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau dan menerima taklimat projek pembinaan bangunan baru bagi sebuah Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang mengandungi kemudahan sukan dan kemudahan-kemudahan lain berkaitan di Bukit Chabang dekat Padang Besar.

Hadir mengiringi baginda ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman.

Projek fasa pertama untuk 200 orang pelajar lelaki dan perempuan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia tersebut kini dipertanggungjawabkan kepada ZIKAY Construction Sdn Bhd sebagai kontraktor dan dijangka siap pada tahun 2023. Kerja-kerja yang sedang dibangunkan melibatkan pembinaan bangunan pentadbiran, akademik, kantin, asrama, kuarters warden, dewan makan, surau, gelanggang terbuka, dewan badminton dan serbaguna, astaka utama, lapang sasar memanah, balai pengawal, pencawang TNB, rumah pam, EWT (elevated water tank) dan STP (Sewage Treatment Plant).

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button