PADA tahun 2018, Nga Kor Ming yang merupakan Pengerusi DAP Perak mahu Kerajaan Negeri memberi status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Ketika itu, Kerajaan negeri Perak diterajui Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar dan berhubung desakan status hak milik tersebut, Kor Ming yakin kuasa untuk meminda perkara hal ehwal tanah adalah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN).
Hak milik 999 tahun
Memetik laporan MalaysiaKini, Kor Ming yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan pada 2018 berkata hak milik 999 tahun itu juga bukan isu kerana pihaknya akan memberikan hak milik kekal itu kepada semua bangsa melibatkan kampung tersusun, penempatan kaum India dan kampung baru.
“Saya ingin tekankan apabila kita berikan hak milik kekal, kita bagi kepada semua bangsa dan ini perlu ditegaskan.. Jangan salah faham, ini bukan tanah baharu, ini adalah lot kediaman yang didiami oleh penduduk sebelum kemerdekaan sejak tahun 1948 iaitu waktu darurat, sudah wujudnya kampung baru.
“Itu rumah mereka, takkan kita hendak rampas rumah rakyat? Cuma saya minta berikan hak milik, hak milik sememangnya ada, cuma dilanjutkan tempoh pajakan maka tak jadi isu,” katanya.
Namun bagi Faizal Azumu, kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Nga Kor Ming dilantik sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan
2022 menyaksikan negara menghadpi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan setelah melalui pelbagai drama, Pakatan Harapan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk Kerajaan Perpaduan.
Pada 2 Disember 2022, sekitar 8.15 malam, Anwar mengumumkan senarai Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan dan nama Kor Ming turut disebut memegang jawatan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Maka dalam media sosial, orang ramai yang tidak pernah melupakan hasrat Kor Ming yang pernah meminta status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru dibangkitkan semula.
Hal ini demikian kerana pada 2018, Kor Ming cuma Pengerusi DAP Perak dan Anggota Parlimen Teluk Intan namun lima tahun selepas itu, ketika ini, Kor Ming punyai kuasa untuk turunkan ‘tanda tangan’ dan arahan biar pun menerusi jawatan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Jika merujuk laman web semasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (belum dikemas kini), Kementerian itu memiliki beberapa kuasa tertentu ke atas:
- Kebombaan dan penyelamatan
- Perumahan
- Kesejahteraan bandar dan komuniti
- Kerajaan tempatan
- Pengurusan sisa pepejal
- Pembangunan dan perancangan bandar
- Pembangunan landskap
Bukan mahu bersifat rasis atau sebagainya namun ucapan Kor Ming pada 2018 jelas mengandungi mesej yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.
Sehubungan itu, perkara ini perlu dipantau dengan klausa ‘semak dan imbang’ agar tuntutan karut daripada pihak-pihak yang mahu melanggar Perlembagaan Persekutuan dapat dikekang secara holistik.
Ada juga pendapat menegaskan keupayaan memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu adalah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Bagi kumpulan tersebut, Kor Ming tiada kuasa untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu kerana Kor Ming dianggap cuma Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan. – SM