Kit Siang bimbang Muhyiddin guna Covid-19 untuk lemahkan Parlimen
KERAJAAN diingatkan supaya tidak menjadikan wabak Covid-19 ketika ini sebagai alasan untuk melemahkan dan meminggirkan fungsi Parlimen.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, untuk itu kerajaan diseru menubuhkan sebuah pusat kajian pandemik Covid-19 bagi mengambil pengajaran daripada kejayaan serta mengkaji kesilapan negara-negara lain.
Pusat itu juga katanya, untuk memastikan Malaysia tidak dilihat di mata dunia sebagai negara yang menjadikan wabak tersebut sebagai alasan untuk melemahkan fungsi dan meminggirkan Parlimen
“Perutusan yang disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara siaran langsung semalam mengundang kekecewaan.
“Harapan untuk melihat Parlimen dan Badan Kehakiman diletakkan sebagai perkhidmatan penting di tengah-tengah krisis pandemik Covid-19 tidak kesampaian.
“Langkah ini menunjukkan kerajaan masih belum serius untuk merangka pelan bagi memulihkan semula ekonomi yang terjejas akibat Covid-19,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam blognya .
Katanya, meskipun Malaysia telah menunjukkan prestasi yang cukup baik di pentas antarabangsa dalam perang melawan Covid-19 — setelah mengalami penurunan dari kedudukan ke-18 negara teratas di dunia dari segi jumlah kes positif Covid-19 kepada kedudukan ke-43 dan dari kedudukan ke-33 kepada kedudukan ke-49 dari segi angka kematian akibat Covid-19 — tetapi ia masih harus terus belajar daripada kejayaan dan kesilapan negara-negara lain.
“Sebagai contoh, ketika Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, negara kita mencatatkan 790 kes positif Covid-19 dan dua kematian. Pada hari yang sama, Amerika Syarikat mencatatkan 9,269 kes dengan 116 kematian sementara Perancis mencatatkan 9,034 kes dan 264 kematian.
“Lima minggu kemudian, Malaysia mencatatkan 5,603 kes dengan 95 kematian, sementara Amerika Syarikat mencatatkan 876,174 kes dengan 49,651 kematian dan Perancis pula mencatatkan 158,183 kes dan 21,856 kematian.
“Kita sudah melepasi kemuncak lengkungan penyebaran gelombang Covid-19 dan kini sedang melihat corak penurunan, tidak terlalu optimis untuk kita jangkakan bahawa peningkatan kes baharu Covid-19 akan kekal sekitar kadar dua angka, malah mungkin menurun menjadi satu angka dan seterusnya menjadi sifar.
“Amerika Syarikat, masih belum mencapai kemuncak penularan Covid-19, manakala Perancis pula masih terus berharap ia telah mencapai puncaknya.
“Pun begitu, Presiden Perancis baru saja mengumumkan bahawa negara itu akan melancarkan rancangan keluar negara tersebut pada minggu hadapan.
“Perancis menguatkuasakan kawalan pergerakan pada waktu yang hampir sama dengan Malaysia melaksanakan PKP; pada pertengahan bulan Mac,” katanya.
Pada masa sama kata Kit Siang, terdapat negara lain yang berada dalam situasi yang lebih baik daripada Malaysia.
Vietnam misalnya, kata beliau, mempunyai 76 kes dengan sifar kematian pada 18 Mac dan kini, mempunyai 268 kes dan kekal dengan sifar kematian, sementara Taiwan mencatatkan 100 kes dengan satu kematian pada 19 Mac lalu dan kini 427 kes dengan enam kematian.
‘Kita harus belajar daripada kejayaan dan kesilapan semua negara, khususnya 10 negara teratas dengan jumlah kes Covid-19 terbanyak iaitu Amerika Syarikat (876,174 kes), Sepanyol (213,024 kes), Itali (189,973), Perancis (158,183), Jerman (151,784), United Kingdom (138,078), Turki (101,790), Iran (87,026), China (82,798) dan Rusia (62,773).
“Tetapi, kita juga harus belajar daripada semua negara lain, termasuk Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Singapura, Indonesia, Australia, New Zealand, bahkan Brazil dan Mexico, kerana wabak ini bersifat global dan menyerang semua negara. Tidak ada satu pun negara yang akan dapat bertahan dengan sekatan pergerakan selama-lamanya.
“Adakah ini jalan yang akan diambil oleh Malaysia?
“Setiap negara sedang bergelut mencari kaedah terbaik bagi mengekang penyebaran Covid-19 di negara masing-masing, dan pada dalam masa yang sama berusaha mengurangkan kesan wabak tersebut terhadap kesihatan, masyarakat dan ekonomi,” katanya.
Katanya, Malaysia harus mengambil berat amaran Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Antonio Guterres, bahawa pandemik Covid-19 ini tidak boleh dijadikan alasan untuk negara-negara demokratik bertindak autokratik dan menafikan hak asasi manusia atau mengekang penyaluran maklumat yang benar.
Menurut beliau, situasi yang pada mulanya dilihat sebagai ancaman kepada sistem kesihatan awam kini tiba-tiba bertukar menjadi krisis hak asasi manusia.
“Inilah sebabnya mengapa Muhyiddin harus mengadakan Sidang Parlimen Khas berkaitan pandemik Covid-19 pada bulan April dan ia harus bersidang lebih daripada sehari bermula 18 Mei ini, kerana kita tidak mahu dilihat dunia sebagai sebuah negara yang menggunakan alasan pandemik untuk melemahkan dan meminggirkan fungsi Parlimen, apatah lagi mengetepikan Perlembagaan Persekutuan.
“Muhyiddin perlu membuktikan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, yang bersedia untuk mempertahankan semua kumpulan terpinggir yang telah menghadapi kesusahan akibat pelaksanaan PKP dan juga bersedia untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di atas prinsip kedaulatan undang-undang dan Parlimen.
Katanya Kit Siang, Mahkamah Rayuan menunjukkan contoh yang baik dan terpuji dengan mengadakan sesi pendengaran secara “maya”.
Oleh itu katanya, Perdana Menteri harus mengambil iktibar daripada tindakan Mahkamah Rayuan tersebut dengan memberikan sokongannya kepada Parlimen untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat dan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas secara maya, selain memastikan institusi tersebut memainkan peranannya sebagai ejen semak dan imbang dalam pentadbirannya, lebih-lebih lagi ketika negara berdepan krisis sebegini.
“Muhyiddin juga harus memastikan bahawa Parlimen dan masyarakat Malaysia diajak untuk sama-sama berunding bagi merangka pelan keluar dan strategi terbaik untuk membendung Covid-19, memulihkan semula ekonomi dan membangun kembali Malaysia — dan yang paling utama sekali, memastikan unsur penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang dikecam pengundi Malaysia menerusi peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 lalu, tidak membuat kemunculan semula dan seterusnya merosakkan negara ini,” katanya. – SM