Nasional

Raja Muda Perlis titah agar semua terus cekal patuhi PKP

 

Dalam kita mengharungi fasa baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bersempena kehadiran Ramadan pada kali ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan harapan agar kita semua akan lebih cekal, tabah dan menggiatkan lagi usaha menangani pandemik wabak Covid-19 ini dengan mematuhi segala bentuk peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

Demikian titah baginda dalam titah perutusan bersempena menyambut bulan Ramadan 1441 Hijrah bersamaan 2020 Masehi yang bermula pada hari ini.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, segala usaha kita selama ini telah terserlah sinar kejayaannya. Justeru teruskan komitmen kita, jangan kerana kecuaian kita, menggagalkan pengorbanan semua pihak khususnya mereka di barisan hadapan selama PKP ini. Kita tidak mahu gelombang kedua COVID-19 merosakkan impian kita.
Justeru, kekal tabah, kekal di rumah, terus berbuat baik dan berusaha tangani wabak Covid-19 ini secara habis-habisan! Kita Mesti Menang!

Tuanku Raja Muda Perlis menitahkan agar sama-samalah kita melalui bulan Ramadan kali ini dengan mengekalkan jarak fizikal.
Sungguhpun agak sukar, namun kita perlu mengekalkan jarak fizikal. Kita tidak lagi boleh mengadakan bazaar Ramadan atau solat tarawih di masjid, namun laksanakanlah di rumah masing-masing di sisi keluarga tercinta. Lindungilah keluarga dan komuniti, terutama sekali warga emas dengan mengurangkan sentuhan fizikal. Ini adalah salah satu tanda keperihatinan dan kasih sayang kita terhadap mereka.

Pada masa yang sama kukuhkanlah komuniti. Menyambut Ramadan di bawah PKP dan terpisah dari mereka yang tersayang adalah sesuatu yang sukar dari segi mental dan emosi. Justeru, pemimpin tempatan dan agama digalakkan membimbing dan memberi sokongan kepada komuniti mereka melalui platform digital dan telekomunikasi dalam tempoh ini. Masa ini boleh digunakan untuk bermuhasabah, memperbaiki, berkongsi dan mengambil berat antara satu sama lain dari jarak yang sihat dan mengurangkan perasaan terasingan dan kesunyian, serta

Ambil berat jugalah terhadap orang lain.
Semangat Ramadan ialah amal jariah, kasih sayang dan mengambil berat terhadap saudara kita. Walaupun sesetengah perkara berubah di bawah PKP, namun niat kita untuk memenuhi pengisian Ramadan ini kekal sama. Jiwailah bulan mulia ini dengan mengambil berat terhadap jiran tetangga dalam komuniti kita sebagai contoh menyumbang makanan atau wang ringgit supaya tiada siapa kelaparan atau dengan meluangkan masa melalui panggilan telefon.

Baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda iaitu Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah. Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua Muslimin dan semoga ibadah puasa di tahun ini dapat dilaksanakan dengan beristiqamah serta lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini di sebalik kekangan PKP yang kita semua sedang sama-sama hadapi. – SM

(Visited 442 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button