SETIAP pekerjaan ada cabaran dan dugaan, namun di sebalik itu ada kemanisan yang sering menjadi pembakar semangat untuk seseorang itu terus berusaha bertugas dengan lebih baik serta bertanggungjawab.
Begitu juga dengan tugas sebagai seorang posmen. Cabaran yang dihadapi setiap hari tidak dapat dijangka.
Itulah yang berlaku kepada Md Yazid Hassan, seorang posmen yang bertugas di Pusat Serahan Mel Telok Panglima Garang, Selangor. Kenangan yang sukar dilupakan oleh En Md Yazid yang berusia 52 tahun dan telah bertugas dengan Pos Malaysia sejak 1995 lagi.
Md Yazid ketika awal penugasannya di Pos Malaysia telah berkhidmat di Pusat Serahan Mel Subang Jaya sebelum berpindah ke Pusat Serahan Mel Port Klang setahun selepas itu sehingga tahun 1999. Akhirnya, Md Yazid berpindah ke Pusat Serahan Mel Telok Panglima Garang sejak 1999 sehinggalah sekarang.
Di Pusat Mel Telok Panglima Garang terdapat 14 orang posmen termasuklah dua orang Posmen tingkatan kanan. Mereka akan akan ditugaskan untuk menguruskan mel sejumlah 63,785 unit dalam masa seminggu.
Bagi bulan Oktober tahun lepas sahaja, mereka telah uruskan sejumlah 255,142 mel sebulan. Bukan senang tugas ini, secara puratanya seorang Posmen akan uruskan sejumlah 18,224 mel seorang dalam sebulan.
Mengagih, menyusun dan mengatur semua 18,000 mel ini mengikut zon alamatnya juga mengambil masa yang panjang, sekurang-kurangnya dua jam. Barulah boleh mel itu dihantar kepada penerimanya. Inilah rutin tugas seorang Posmen.
Banyak kenangan manis yang dikongsi oleh Md Yazid sepanjang 25 tahun bertugas sebagai seorang Posmen. Antara yang paling diingatinya adalah layanan yang diterima daripada rakyat yang mengucapkan terima kasih kepadanya setiap kali beliau datang menghantar surat dan bungkusan.
Itu yang membuatkan Md Yazid cukup terharu. Lebih-lebih lagi di kawasan yang menjadi tanggungjawabnya itu adalah bukan majoriti orang Melayu. Kebanyakkannya orang berbangsa Cina dan India, namun mereka cukup gembira dan berterima kasih bila mendapat surat dan serahan bungkusan daripada Md Yazid.
Paling tidak boleh dilupakan oleh Md Yazid adalah kemalangan yang dialaminya ketika membuat serahan di Pulau Carey.
Md Yazid telah terjatuh ke dalam longkang yang besar ketika membuat serahan tersebut. Nasib baiklah tidak mengalami kecederaan yang teruk pada waktu tersebut. Itu pengalaman yang akan diingatinya sampai bila-bila.
Inilah pengalaman pahit dan manis seorang posmen. Di mata rakyat mereka hanya nampak posmen yang naik motosikal dan datang menyerahkan surat.
Namun di belakang posmen tersebut ada keluarga yang perlu mereka sara. Bagi Md Yazid sendiri, beliau sendiri mempunyai isteri dan tiga orang cahaya mata, seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.
Pengorbanan besar seorang posmen dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah rakyat. Diucap terima kasih adalah sesuatu yang cukup berharga. Kemalangan hingga putus kaki, dikejar anjing dan jatuh longkang adalah sesuatu dugaan yang mewarnai kerjaya mereka sebagai seorang posmen.
Semoga semua petugas posmen semua terus tabah dan kuat menghadapi tahun 2020 ini. Teruskan berkhidmat untuk rakyat dan demi keluarga.
Dipetik dari FB Friend of Posmen