Kisah PAU yang tertib dan insiden ‘pecah kepala’ dalam Kongres PKR
KETIKA Persidangan Agung UMNO yang masuk hari ketiga berlangsung dalam suasana tertib, bermuhasabah diri mencari kembali kekuatan yang hilang akibat perang persepsi, situasi berbeza ditunjukkan dalam Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka hari ini.
Kongres tersebut yang masuk hari kedua, dicemari dengan pergaduhan sejak awal lagi.
Menurut portal berita, Malaysia Gazette pergaduhan dipercayai berlaku antara ‘pemerhati’ berbaju T-shirt hitam dengan perwakilan yang memakai baju rasmi PKR.
Difahamkan pergaduhan yang bermula dari dalam dewan persidangan merebak ke pekarangan MITC berikutan berlaku provokasi antara kedua-dua pihak tersebut.
Kejadian itu menyebabkan beberapa orang cedera termasuk pendarahan di kepala.
Bagaimanapun insiden itu berjaya dileraikan dengan campur tangan pihak polis.
Peristiwa ‘memalukan’ itu bukan sahaja mengundang kritikan netizen malah sindiran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Malah, beliau sempat menawarkan khidmat nasihat secara percuma kepada pihak terbabit yang dirujuk sebagai Angkatan Muda Keadilan.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersedia menawarkan khidmat nasihat secara percuma kepada Angkatan Muda Keadilan sayap Pemuda PKR bagaimana nak mengendalikan mesyuarat agung atau kongres tanpa perlu wujud kekecohan dan perbalahan hingga ada yang berdarah dan berjahit kepala,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook beliau.
Sementara itu, aktivis politik, Hizatul Isham Abdul Jalil pula berkata, berbeza dengan UMNO yang bersidang dalam suasana berhemah walaupun telah menjadi pembangkang, persidangan PKR pula penuh dengan kekecohan dan pergaduhan.
Berikut kenyataan penuh beliau:
Tadi saya pergi Perhimpunan Agung UMNO di PWTC.
Perjalanan majlis amat tertib dan berhemah walaupun UMNO sudah menjadi pembangkang.
Video di bawah ini pula berlaku di Kongres PKR di Melaka.
Kecoh dan mereka bergaduh walaupun sudah menjadi kerajaan.
Macamanalah PH ini hendak mentadbir negara, perangai masih sebegini rupa umpama samseng tahi kucing.
Ekonomi semakin tenat.
Kerajaan pula asyik bergaduh sesama sendiri.
Yang sengsara adalah rakyat.
Allah selamatkanlah kita daripada puak-puak ini.