Hiburan

Kisah kekasih lelaki Inggeris, rumah tangga jadi bualan minggu ini

SEPERTI biasa, minggu ini Suara Merdeka senaraikan lagi lima kisah selebriti tempatan yang menjadi bualan hangat netizen.

Nampaknya minggu ini juga sama seperti minggu lalu, ada kisah suka, duka dan cerita yang boleh kita ambil pengajaran.

Nak tunggu apa lagi, jom kita baca lima kisah selebriti tempatan minggu ini.

Sharifah Sakinah jumpa kekasih baharu

Baru sahaja mengumumkan penceraian pada Mei lalu, pelakon, Sharifah Sakinah nampaknya sudah mengaku yang dia kini sedang mempunyai hubungan intim dengan seorang jejaka ‘mat saleh’.

Hubungan mereka dihidu ketika pelakon itu hadir ke sebuah majlis di ibu negara dan ketika ditanya siapakah lelaki itu, Sakinah terus mengaku yang itu adalah teman istimewanya.

Sakinah juga memberitahu yang dia bersikap terbuka untuk berbicara mengenai hubungannya jika ditanya pihak wartawan.

Alhamdulillah, benda yang betul, buat apa nak disorokkan. Betul tak.

Cuma itulah, sebelum ini Sakinah ada memberitahu yang dia tidak akan kembali ke pangkuan bekas suaminya kerana dia mempunyai masalah gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif.

Harap kekasih yang baharu ini dapatlah menerima keadaan Sakinah seadanya ya.

Kemelut rumah tangga Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila selesai dengan baik

Bukanlah kita nak menyokong isu penceraian rumah tangga ini. Cuma bila sudah tidak sehaluan, keputusan untuk berpisah adalah satu daripada penyelesaiannya.

Cuma lepas sudah berpisah itu, jadilah seperti pelakon, Sharnaaz Ahmad dan bekas isterinya Noor Nabila yang kekal baik demi anak mereka iaitu Jebat Jayden.

Malah, keputusan rumah tangga mereka di peringkat mahkamah juga selesai dengan beberapa persetujuan bersama.

Antara keputusan sepakat yang berjaya diraih ialah Sharnaaz bersetuju memberi nafkah edah kepada Nabila sebanyak RM500 selama tiga bulan dan nafkah anak sebanyak RM1,200 sebulan.

Apa pun yang terjadi dalam hal rumah tangga sebelum ini haruslah diketepikan demi zuriat yang dikurniakan Allah.

Aliff Aziz perlu sedar diri

Kalau kita ikut perjalanan kehidupan penyanyi dan pelakon ini, kita akan sedar bahawa amat sukar sebenarnya menjadi seorang Aliff Aziz.

Terbaharu, Aliff Aziz telah dihukum penjara dua minggu dan denda RM1,500 di atas kesalahan mencuri dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai pada tahun lalu.

Ini bukan kali pertama Aliff Aziz dihukum kerana pada 2014, dia pernah didenda RM6000 selepas didapati bersalah kerana mencuri dua buah telefon bimbit.

Selepas itu berlaku pula isu rumah tangga yang menyaksikan Aliff bercerai dengan isterinya yang juga seorang penyanyi, Bella Astillah.

Namun mereka rujuk kembali beberapa bulan selepas itu.

Disebabkan Covid-19 juga, Aliff terpaksa berpisah dengan isterinya kerana dia berada di Singapura untuk berhadapan dengan kes mahkamahnya.

Perpisahan itu juga membuatkan dia terlepas detik penting ketika isterinya melahirkan anak kedua mereka.

Banyak betul dugaan yang dihadapi Aliff dan diharapkan semua yang berlaku ini menjadi pengarajan penting dalam dirinya.

Konon nak tular, akhirnya makan diri

Kisah ini pula tidaklah melibatkan selebriti tempatan tetapi berkenaan dengan seorang wanita yang cukup terkenal dalam media sosial.

Baru-baru ini, wanita yang dikenali sebagai Eira Azira yang aktif dalam perniagaan di laman sosial telah tular kerana memaki hamun seorang peniaga yang menghalang membuat ‘live’ di restoran itu.

Berang dengan peniaga restoran tu, Eira kemudian telah memaki hamun dengan niat untuk menularkan video tersebut.

Video tersebut memang tular namun ianya telah memakan dirinya sendiri apabila netizen mula tidak puas hati dengan kata-katanya yang disifatkan kurang ajar.

Terkesan dengan kemarahan netizen, Eira kemudian memuat naik sebuah video permohonan maaf berkaitan dengan insiden tersebut.

Sebenarnya apa yang berlaku sudah berlalu. Apa yang penting ialah permohonan maaf dan Eira juga sudah mengaku kesilapannya.

Biasalah, kalau dah namanya manusia. Sentiasa akan bertindak mengikut hawa nafsu dan akhirnya melakukan kesilapan. Betul tak?

Al-Fatihah Idris Mat Diah

Selepas pemergian arwah penyanyi, Sandra, nampaknya industri seni tempatan hilang seorang lagi pelakon berbakat, Idris Mat Diah.

Pelakon veteran itu meninggal dunia secara mengejut di rumahnya di Putrajaya pada pukul 2.30 pagi ahad lalu.

Menurut anak arwah, Nur Alia Muliyani, sebelum meninggal dunia, ayahnya sudah mula hilang selera makan.

Malah katanya, walaupun makanan yang diberikan itu adalah kegemaran ayahnya, arwah tetap menolak dan tidak mahu makan.

Arwah Idris adalah seorang pelakon yang cukup disegani dan seorang dramatis yang begitu popular.

Lakonan terakhirnya adalah sebagai Pak Andak menerusi drama yang mendapat sambutan hangat, 7 hari Mencintaiku 2.

Arwah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Kepong. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button