
Kilang semikondutor Jabil bakal lonjak ekonomi Perlis
PADANG BESAR 8 April – Pembukaan kilang pembuatan semikonduktor Jabil di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), di Padang Besar dijangka melonjak pelaburan ekonomi Perlis.
Malah, kilang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) ini menjadi lambang pencapaian kepada Perlis sebagai pelaburan asing pertama menempatkan diri di negeri itu.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah pengoperasian Jabil membuka peluang lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa terutama dalam meletakkan Perlis sebagai hab industri pembuatan.
“Majlis ini bukan sekadar pembukaan sebuah fasiliti baharu, namun ia permulaan lembaran baharu dalam pertumbuhan ekonomi negeri Perlis. Sebagai pelabur pertama, Jabil membuka jalan kepada lebih banyak pelaburan dan peluang di hab industri yang sedang pesat membangun ini.
“Malah, keyakinan diberikan kepada Perlis serta kepercayaan ditunjukkan dengan menubuhkan kilang ini di CVIA amat kami hargai dan sanjung tinggi,” titah baginda ketika merasmikan Kilang Pembuatan Semi Konduktor Jabil di CVIA, semalam, lapor Berita Harian.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Naib Presiden Eksekutif Operasi Jabil, Frederic McCoy dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.
Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) adalah pemilik dan pemaju kemudahan pengeluaran Jabil di Taman Perindustrian Lembah Chuping.
Raja Perlis bertitah, perjalanan menuju saat bersejarah ini sudah bermula sejak 2018 apabila kerajaan negeri meluluskan tanah untuk pembangunan.
“Kertas dasar dirangka penuh visi dan perancangan strategik oleh Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri menjadi asas kepada projek transformasi ini. Usaha diperkuatkan NCIA selaku penggerak utama pembangunan CVIA.
“Sejak awal lagi, kita melihat kerjasama kukuh antara kerajaan negeri Perlis, NCIA, MRCB serta Jabil… beta amat berbesar hati melihat hasil usaha kolaboratif semua pihak terbabit kini berjaya disiapkan tahun lalu, membawa kita ke hari bersejarah ini.
“Kerajaan negeri melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri serta Kerajaan Persekutuan melalui NCIA memantau dengan rapi kemajuan projek ini, bagi memastikan ia memenuhi piawaian tertinggi serta menyumbang pertumbuhan ekonomi negeri Perlis,” titah baginda.
Kilang Jabil di Chuping adalah cawangan terbaru dibuka di Perlis selain Batu Kawan, dua kilang di Bayan Baru, Pulau Pinang, serta Sungai Petani dan Kulim di Kedah.
GALERI FOTO