Khalid perbetul salah faham ‘Tun M tersilap besar letak jawatan’
PENGARAH Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad memperbetulkan salah faham berkaitan Twitternya sebelum ini.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menjelaskan, dia tidak salah apabila menulis ‘Tun tersilap besar kerana meletakkan jawatan sebagai PM.
Menurutnya, perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sememangnya satu kesilapan. Namun, peletakan jawatan berkenaan bukan menjadi penyebab kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan.
“Hmmm.. bila pula saya kata perletakan jawatan Tun M bukan satu kesilapan? Hanya, yang perlu dijelaskan ianya bukan sebab jatuhnya kerajaan PH.
“Kerajaan PH jatuh kerana pengkhianatan yang menyebabkan hilangnya majoriti yang sebelum ini milik PH. TSMY dan Azmin pengkhianatnya,” ciap Khalid.
Sebelum ini Khalid memberitahu di Twitternya Dr. Mahathir melakukan kesilapan kerana meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Tindakan Dr. Mahathir itu, menurut beliau memudahkan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali membuka langkah menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan.
“Tun tersilap besar kerana meletakkan jawatan sebagai PM. Ianya memudahkan MY dan Azmin bertindak jatuhkan kerajaan PH.
“Tun dimarahi dan ditegur berkali-kali mengenainya, oleh ramai, pimpinan PH dan juga oleh Netizen. Namun harap sentiasa ingat, MY dan Azmin pengkhianat sebenar,” ciap Khalid.
Ciapan Ahli Palimen Shah Alam itu kemudiannya menjadi viral kerana seolah-olah mengakui bahawa tindakan Dr. Mahathir meletakkan jawatan menjadi penyebab kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada Mac lalu.
Ciapan tersebut turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu menyindir Khalid kerana lambat untuk menyedari kesan buruk langkah Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.
“Selepas tumbang hampir 5 bulan, dia baru faham. Lambat pun lambat, asal faham akhirnya. Terbaik Lid,” sindir Najib.
Terdahulu, Dr. Mahathir meletakkan jawatan menyebabkan Kabinet yang dianggotai ahli Parlimen Pakatan Harapan terbubar.
Insiden politik itu berlaku susulan pertemuan pemimpin politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, UMNO dan Pas.
Susulan pertemuan itu juga menyaksikan Bersatu di bawah pimpinan Muhyiddin keluar daripada PH dan bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin dipecat daripada parti.-SM