NasionalPolitik

Ketua Wiranita Putra pertikaikan RM35.4 juta bina tiga dewan di Pagoh

RM35.4 juta elok disalur bantu rakyat dalam PKP 2.0

KETUA Pergerakan Wiranita PUTRA Malaysia, Ros Hanita Mohd. Basir  hari ini mempersoal dan mempertikaikan keputusan Kerajaan meluluskan RM35.4 juta untuk pembinaan tiga dewan di Pagoh, Johor.

Pembinaan itu pada hemat Ros Hanita bukan sahaja tidak relevan malahan amat tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan rakyat dihimpit dan begitu tertekan dengan ekonomi akibat gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang ini.

Kata Ros Hanita, walau pun kerajaan sedar bahawa rata-rata rakyat hidup dalam kesusahan kerana hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja, gaji dipotong, perniagaan ditutup dan sebagainya namun mereka seolah-olah masih kurang inisiatif  dalam membantu rakyat.

“Apa yang dilakukan oleh pihak Kerajaan dalam membantu rakyat untuk memulihkan ekonomi keluarga selain meluluskan pengeluaran wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana wang itu adalah milik pendeposit atau rakyat sendiri.

“Ini adalah satu tindakan yang amat tidak masuk akal iaitu peruntukan RM35.4 juta itu hanya untuk mendirikan tiga buah dewan yang tidak menjadi keperluan terdesak jika dibandingkan dengan keperitan hidup yang dihadapi oleh rakyat marhain,” tegas Ros Hanita.

Beliau berkata, perbelanjaan ini dikategorikan sebagai pembaziran besar-besaran dan seolah-olah kerajaan langsung tidak peka dengan masalah rakyat.

“Melainkan ada udang disebalik batu. Itu tidak tahulah. Mungkin juga ada agenda tersembunyi oleh pihak-pihak tertentu dalam peruntukan yang sebegini besar untuk pembinaan tiga buah dewan di Pagoh,” kata Ros Hanita.

Sehubungan itu, Ros Hanita berkata, Wiranita PUTRA mendesak agar Kerajaan meneliti semula kelulusan peruntukan wang sebanyak RM35.4 juta itu supaya ia dapat disalurkan kepada golongan yang hilang sumber pendapatan dan punca rezeki.

“Apa yang menjadi persoalan yang berlegar-legar di kepala kita ialah mengapa peruntukan itu boleh diluluskan sedangkan negara sedang berhadapan dengan Covid-19?

“Tidak cukup dengan gelombang ketiga Covid-19, kita juga berhadapan dengan masalah banjir pada musim tengkujuh di beberapa negeri dan daerah.

“Ada baiknya peruntukan sebanyak RM 35.4 juta itu dibelanjakan untuk meningkatkan lagi fasiliti perubatan daripada membina sebuah dewan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi pihak Wiranita PUTRA Malaysia, mereka memohon agar Kerajaan mendahulukan nasib rakyat daripada membuat perkara yang tidak berfaedah dan membazir.

Dahulukan rakyat ketika rakyat berdepan kesulitan dan Kerajaan yang ada pada hari ini biarlah adil dan telus dalam membuat apa juga keputusan dan tidak hanya memenuhi kehendak pihak-pihak tertentu, kata Ros Hanita. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button