Nasional

Pemandu Myvi leka guna telefon rempuh sekatan jalan raya

SEORANG pemandu kereta jenis Perodua Myvi telah merempuh sekatan jalan raya di Jalan Klang Lama dipercayai kerana leka menggunakan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.50 petang semalam.

“Suspek yang berusia 40 tahun itu mengakui yang dia cuai ketika memandu kerana menggunakan telefon bimbit.

“Suspek juga memaklumkan yang dia sedang dalam perjalanan ke Taman Gembira, Jalan Klang Lama untuk membeli makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anuar, pemeriksaan terhadap suspek mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencingnya juga adalah negatif.

Suspek bagaimanapun telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 kerana melanggar sekatan jalan raya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu memandu kerana kecuaian akan membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Orang ramai juga diminta mematuhi arahan dan prosedur operasi standard PKP yang dikuatkuasakan kerajaan,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. -SM

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button