Nasional

Ketua Menteri wanita boleh stabil, majukan Melaka, kata pengundi

PEMILIHAN Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka bagi Perikatan Nasional mendatangkan keterujaan kepada penduduk di negeri ini.

Buat pertama kali mereka berpeluang mempunyai wanita yang berkaliber dan berkelayakan sebagai ketua menteri untuk memimpin kemajuan negeri Melaka dengan penuh integriti.

Mereka turut berharap, Melaka yang mempunyai wanita sebagai ketua menteri boleh mengelakkan berlakunya salah guna kuasa dan amalan korupsi.

Aziz Abdullah

Seorang pengundi, Aziz Abdullah, 54, berkata, meletakkan seorang wanita menerajui Melaka boleh memberikan kestabilan kepada negeri.

“Sebelum ini, ketua menteri semuanya lelaki, tetapi politik tetap juga tidak stabil, jadi kita perlu memberi peluang kepada calon wanita pula menjadi ketua menteri.

“Kita tengok macam mana dia mentadbir negeri Melaka ini kerana dia pun ada pengalaman dekat pusat dan merupakan timbalan menteri, jadi kita cuba bagi peluang untuk kita lihat macam mana dia menguruskan negeri ini,” katanya.

Tambahnya, dia berharap agar pengundi dapat membuat pilihan dengan bijak dengan memilih individu yang dapat bekerja untuk rakyat.

Zakaria Jantan

Seorang lagi pengundi, Zakaria Jantan, 60, turut ingin memilih calon wanita kerana belum pernah lagi wanita menjadi ketua negeri.

“Kali ini saya ingin memilih calon wanita kerana di Melaka ini tiada lagi perempuan yang mentadbir dan boleh jadi perempuan lebih baik daripada lelaki,” ujarnya.

Tambahnya, Mas Emieryati diharapkan dapat melaksanakan semua yang dijanjikan kepada rakyat Melaka.

Sarimah Md Tan

Sarimah Md Tan, 40, pula memilih Mas Emieryati kerana Ahli Parlimen Masjid Tanah itu selalu membantu rakyat terutamanya ibu tunggal.

“Saya sebagai ibu tunggal berasa bangga dengan Mas Emieryati kerana dia sangat cepat dalam menghulurkan bantuan.

“Dia menolong saya membeli barangan perlengkapan persekolahan anak saya dan saya berpuas hati dan kagum dengan dia.

“Saya berharap Mas Emieryati mengekalkan sikapnya yang sering memberi bantuan kepada orang ramai terutamanya ibu tunggal,” ucapnya.

Nurul Akmar Azim Mohd Amin

Sementara Nurul Akmar Azim Mohd Amin, 46, mengatakan bahawa dia memilih calon ketua menteri yang baharu.

“Mungkin kita nak orang baru dalam parti baru dan pada pandangn saya, ketiga-tiga itu layak tapi adalah bergantung kepada undi rakyat Melaka ini, sekiranya berjaya, salah seorang antara merekalah yang akan naik,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Melaka yang berlangsung pada Sabtu, 20 November akan bertanding di Dewan Undangan Negeri Melaka Tanjung Bidara dan akan dicabar oleh Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dari Barisan Nasional dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan.

Selain Mas Ermieyati, Barisan Nasional memilih Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri sementara Pakatan Harapan pula meletakkan Adly Zahari.

Ada kalangan pengundi yang mahu memberi Sulaiman peluang kedua untuk memimpin Melaka.

Muhamad Asrul

Seorang pengundi, Muhamad Asrul, 28, akan memilih Sulaiman Md Ali kerana faktor mempunyai ramai pengikut.

“Undi itu adalah rahsia tapi jika ingin memilih, saya akan pilih Sulaiman Md Ali kerana dia ramai pengikut, daripada yang muda ke tua, kenal dengan dia,” katanya.

 

Apa yang pasti calon Ketua Menteri akan menjadi salah satu faktor kemenangan parti-parti yang bertanding.

Penerimaan calon Ketua Menteri akan memberi laluan mudah kepada parti terbabit untuk dipilih rakyat mentadbir negeri. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button