Ketua Eksekutif PERKESO menyantuni waris pekerja gig yang maut dalam kemalangan jalan raya
BERKAT kesedaran seorang pekerja gig dalam Sektor Penghantaran Barangan atau Makanan yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kebajikan isteri dan anak-anak kecil yang ditinggalkan beliau dapat dibela oleh PERKESO menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Puan Siti Nur Aishah Mohd Ali, 31, menjadi balu dengan sekelip mata bersama empat orang anak berusia 4 hingga 10 tahun yang kini menjadi anak yatim apabila bapa mereka, Allahyarham Mohamad Khairul Nizam Abdul Rashid, 30, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sewaktu berkerja.
Pada 11 Mac 2023, lebih kurang jam 3.00 petang, Allahyarham Mohamad Khairul Nizam yang mencari rezeki sebagai delivery rider di bawah platform GrabFood, telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Bukit Ampang semasa perjalanan pulang ke rumah setelah selesai menghantar pesanan pelanggan.
Allahyarham disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius dalam kemalangan yang melibatkan motosikal yang ditunggangi beliau, sebuah lori serta satu kenderaan lain dari arah bertentangan.
Puan Siti Nur Aishah, seorang suri rumah sepenuh masa, kini hilang tempat bergantung kerana suami yang merupakan pencari nafkah keluarga telah pergi buat selamanya. Beliau terpaksa bersendirian membesarkan keempat-empat anak yang masih belum kenal erti kehidupan – Aqil Rizky, 10 tahun dan adik-adiknya, Nur Izzara Aqilah, 9, Nur Irdina Ayra, 7 dan Muhammad Aqif yang baharu berusia 4 tahun.
Mujurlah dengan caruman setahun SKSPS arwah suaminya, menerusi Program Padanan Caruman SPS Gig yang bermula pada 23 Mei 2022, Puan Siti Nur Aishah dan anak-anak layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Orang Tanggungan (FOT). Malah, Allahyarham juga adalah seorang individu yang mengambil berat tentang perlindungan terhadap diri dan keluarga kerana beliau merupakan pencarum aktif SKSPS sejak 10 Mei 2021.
Prihatin dan simpati dengan nasib yang menimpa keluarga Allahyarham Mohamad Khairul Nizam, Ketua Eksekutif PERKESO Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, dengan diiringi oleh pegawai-pegawai PERKESO, telah menziarahi keluarga tersebut di kediaman mereka semalam.
Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman menzahirkan rasa simpati beliau kepada balu muda tersebut serta anak-anak kecilnya. Beliau juga telah menyerahkan FPM sebanyak RM2,000 dan bayaran FOT sebanyak RM1,395 sebulan kepada Puan Siti Nur Aishah dan anak-anak.
Turut serta dalam lawatan tersebut adalah Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri, Tuan Haji Haron Othman dan Pengarah PERKESO Negeri Selangor, Encik Ismail Abi Hashim.
Sesungguhnya malang tidak berbau dan kita tidak dapat menduga musibah yang mungkin menimpa sewaktu menjalankan pekerjaan. Hanya dengan caruman SKSPS, keluarga Allahyarham Mohamad Khairul Nizam dapat dibantu PERKESO untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Adalah diharapkan bayaran faedah PERKESO yang diterima akan dapat meringankan bebanan mereka memandangkan Allahyarham merupakan pencari nafkah tunggal keluarga.
PERKESO menyeru golongan bekerja sendiri terutamanya pekerja gig agar mengambil iktibar dari kisah ini serta segera mendaftar dan mencarum dengan SKSPS. Bagi tahun 2023, menerusi Program Padanan Caruman Pekerja Sendiri, Kerajaan menaja caruman sebanyak 80 peratus atau RM186.20 di bawah Pelan Caruman 2 SKSPS kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang layak, termasuk dalam sektor gig.
Ini bermakna OBS hanya perlu membayar 20 peratus daripada caruman SKSPS iaitu sebanyak RM46.60 untuk mendapat perlindungan SKSPS selama 12 bulan.
Buat masa ini, OBS dalam dua sektor iaitu Sektor Pengangkutan Penumpang dan Sektor Penghantaran Barangan atau Makanan diwajibkan mencarum dengan SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
Rekod PERKESO menunjukkan pada tahun 2022, seramai 4,724 pencarum telah menerima faedah SKSPS yang dianggarkan berjumlah RM14.43 juta berbanding 1,993 pencarum SKSPS yang menerima faedah berjumlah RM4.54 juta pada tahun 2021.
Kenaikan dalam bilangan penerima faedah dan jumlah pembayaran faedah ini adalah berikutan peningkatan tahap kesedaran di kalangan golongan bekerja sendiri tentang perlindungan SKSPS kerana mereka terdedah kepada risiko kemalangan sewaktu melakukan aktiviti pekerjaan sendiri.
SKSPS, yang dilaksanakan pada 1 Jun 2017, menyediakan perlindungan keselamatan sosial untuk OBS dalam 20 sektor informal. Pendaftaran dan caruman SKSPS boleh dibuat menerusi Portal MATRIX PERKESO atau di mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi PERKESO www.perkeso.gov.my atau hubungi Careline PERKESO 1-300-22-8000. – SM
Artikel berkaitan > Faedah PERKESO bantu balu dan anak pemandu lori teruskan kelangsungan hidup