Sukan

Ketiadaan nenek jejas prestasi Hafizh

APA masalah Hafizh Syahrin Abdullah apabila persembahannya merosot? Adakah kerana masalah jentera kurang berkuasa, keadaan fizikal yang masih belum sembuh sepenuhnya atau pun ketiadaan allahyarham neneknya?

Itu dikatakan antara faktor penyumbang kepada kegagalan pelumba Moto2 negara ketika beliau beraksi melengkapkan perlumbaan pada kejuaraan motosikal dunia Grand Prix (GP) San Marino di Misano, Itali, semalam.

Pelumba Oceanica Aspar Team itu pada awalnya beraksi baik setelah bermula di grid ke-12.

Walau bagaimanapun dia kelihatan bergelut ketika saingan memasuki pertengahan perlumbaan setelah berjaya menempatkan dirinya di kedudukan ke-10.

Malah, untuk satu ketika, pelumba berusia 26 tahun itu berjaya menempatkan dirinya di kedudukan ke sembilan sebelum dipintas rakan sepasukanya, Aron Canet.

Ketika perlumbaan berbaki empat pusingan, Hafizh kelihatan hilang kawalan pada jenteranya sehingga menyebabkan dia terjatuh dan tidak dapat meneruskan perlumbaan.

Hafizh dalam kenyataannya kepada media berkata, dia telah memulakan aksi dengan cukup baik apabila berjaya menempatkan dirinya pada kedudukan yang selesa.

“Tetapi dengan masalah tayar belakang yang hilang cengkaman telah memaksa saya menggunakan kuasa motosikal melebihi had sepatutnya.

“Saya menggunakan kesemua kuasa jentera yang ada dan dengan keadaan badan yang belum pulih sepenuhnya, agar sukar untuk saya mengubah arah motosikal di sebelah kiri,” akui Hafizh.

Hafizh berkata, “saya berusaha keras untuk memberikan yang terbaik buat pasukan dan juga arwah nenek saya. Saya telah kehilangan nenek saya dan dengan masalah ini, saya akui sedikit bergelut.

“Secara tiba-tiba saya hilang kawalan di selekoh depan sewaktu saya berada di kedudukan ke-10, agak malang kerana saya cuba mengekalkan kedudukan itu,” kata beliau.

Mengulas mengenai perlumbaan berikut yang berlangsung hujung minggu ini pada Grand Prix Emilia Romagna masih di litar sama dekat Misano, Hafizh berharap, dia dapat mempamerkan persembahan lebih baik dengan prestasi jentera yang dipertingkatkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button