Nasional

Kes Sulu: Kemenangan penting buat negara

KERAJAAN Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang memihak kepada Malaysia dengan menolak untuk mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu yang merupakan Pihak yang Menuntut dalam kes Sulu ini. 

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu sekaligus menghalang apa-apa usaha oleh Pihak yang Menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda. 

“Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague ini merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023. 

“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, Kerajaan adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan oleh Pihak yang Menuntut yang berjumlah hampir USD15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa dan sekaligus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah. 

“Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia Pihak yang Menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain,” katanya dalam satu kenyataan, petang ini. 

Sehingga kini, Kerajaan Malaysia, jelas beliau, tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara.

Kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia MADANI, katanya. 

“Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang & Reformasi Institusi, Dato’ Seri Azalina Othman, Menteri Luar, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital YB Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Dalam Negeri YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Peguam Negara Tan Sri Idrus bin Harun dan semua Kementerian dan agensi berkaitan, termasuk peguam antarabangsa dan semua pihak yang terlibat dalam usaha ini. 

“Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini. Kerajaan Malaysia yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pada 2019, kumpulan Sulu membawa kes itu kepada penimbang tara Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Stampa yang dilantik oleh kumpulan Sulu itu, pada 28 Februari 2022 telah membuat keputusan yang memihak kepada mereka dan memberikan award akhir sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu terbabit yang kemudian didapati tidak sah kerana pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol.

Kumpulan itu kemudian membawa kes tersebut ke Mahkamah Paris. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Paris pada 14 Mac 2023, mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia terhadap pelaksanaan award akhir tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button