MahkamahNasional

Kes SRC Najib: Mahkamah Persekutuan tetapkan 10 hari dengar rayuan

MAHKAMAH Persekutuan dijadualkan mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitannya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dari 15 sehingga 26 Ogos ini.

Dalam surat bertarikh 29 April lalu, mahkamah memaklumkan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa rayuan itu akan diadakan selama 10 hari.

Ia juga meminta pihak terbabit berada di mahkamah pada pukul 8.40 pagi kerana perbicaraan akan bermula 9 pagi.

“Penghujahan bertulis mesti difailkan sebelum 31 Julai ini,” menurut surat tersebut.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 ke atas Najib kerana menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, Najib memohon untuk memasukkan keterangan baharu dalam rayuannya tetapi Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya atas alasan ia tidak memenuhi syarat peruntukan undang-undang. – SUMBER FMT – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button