Kes rogol Exco: Polis jumpa disyaki air mani, seluar dalam
Mahkamah Tinggi Ipoh yang mendengar perbicaraan kes rogol membabitkan bekas Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong hari ini diberitahu pelbagai bahan bukti ditemui pegawai polis Unit Forensik D10 yang memeriksa lokasi kejadian.
Pegawai polis Unit Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Inspektor Simon Vadivelo berkata, penemuan-penemuan tersebut ialah disyaki air mani pada sehelai cadar warna putih, atas lantai dan di tepi katil.
“Turut ditemui empat helai rambut di atas tilam dan sebatang mop yang dijumpai di belakang rumah,” kata beliau ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Menurut Simon, turut ditemukan ialah seluar dalam lelaki berwarna kelabu, sehelai baju T berwarna coklat, sehelai seluar pendek berwarna hitam berjalur merah.
“Turut dijumpai di lokasi kejadian, baju T berleher bulat berwarna putih, sehelai seluar pendek berwarna biru, sehelai seluar dalam wanita berwarna merah jambu dan pakaian dalam wanita berwarna biru.
“Kesemua pakaian itu dibungkus di pejabat pegawai penyiasat,” katanya.
Perbicaraan bersambung esok. Paul Yong, 51, didakwa merogol pembantu rumahnya wanita Indonesia di kediamannya di Meru Desa Park, pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019.
Ketika kejadian tertuduh memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. – UTUSAN