Kes Ebit Lew: WhatsApp juga dikesan mengandungi gambar, video lucah
TENOM – Seorang saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat satu Kumpulan WhatsApp mengandungi gambar dan video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit yang diterimanya pada 8 Oktober 2021.
Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Komisioner Latifah Abdul Aziz, 43, berkata, telefon bimbit itu dihantar ke makmal forensik PDRM kira-kira pukul 12.02 tengah hari oleh pegawai penyiasat.
Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata, telefon bimbit itu disimpan dalam keadaan selamat, sebelum dikeluarkan pada 22 Oktober 2021 untuk proses analisis namun telefon bimbit itu mempunyai kata laluan.
“Saya menghubungi pegawai penyiasat untuk mendapatkan kata laluan bagi membolehkan akses oleh sistem analisis dan telah diberikan pada hari yang sama…saya kemudian jalankan analisis terhadap telefon bimbit itu sebelum menemukan Kumpulan WhatsApp itu,” katanya.
Latifah berkata demikian semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad yang bertanya hasil analisis saksi terhadap telefon bimbit yang diterimanya itu.
Ebit Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Asyraf Zolhani menetapkan perbicaraan disambung dari 16 hingga 18 Ogos depan. – Bernama.