Kertas kerja CiE-TVET jadi sumber rujukan
Segala perkongsian ilmu, dapatan serta kaedah kajian dan sebagainya dalam pembentangan di ‘The 10th National Conference in Education – Technical and Vocational Education and Training (CiE-TVET) 2020’ pada 13 dan 14 Oktober 2020 diharap dapat dijalankan dalam suasana yang kritis, harmoni, berinovasi dan berwawasan.
CiE-TVET 2020 yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Malaysia melibatkan pembentangan 173 kertas yang layak selepas melalui proses penilaian oleh panel yang mana 53 daripada yang layak adalah dari PTSS dirancang untuk menjadi salah satu platform khas buat warganya untuk membentangkan hasil penyelidikan dalam bidang TVET.
Himpunan kertas penyelidikan yang dibentangkan akan diterbitkan dalam e-proceeding CiE-TVET 2020 dan e-journal JPPKK sebagai sumber rujukan oleh pihak-pihak berkepentingan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan persidangan berkenaan yang dilaksanakan melalui telesidang di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra pada pagi tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan dan Dr. Rashdan Rashid.
Pada kesempatan yang sama baginda menitahkan ucapan syabas kepada 4 Kertas Penyelidikan Terbaik PTSS pada kali ini terdiri daripada:
1) Noor Hanisah Abdullah: ‘Pembangunan Smart Motorcycle Anti Theft System (SMATS)’ bagi Kategori Teknikal.
2) Dr. Rashdan Rashid: ‘The Relationship of Career Development, Salary and Benefit, and Employer Reputation Towards Job Selection Among Northern Polytechnic Accounting Students’ bagi Kategori Sosial Sains.
3) Mohammad Hazrul Md Jori: ‘Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Berdasarkan Pendekatan OBE dalam Program Diploma Teknologi Automotif di Kolej Vokasional : Penilaian Menggunakan Dimensi Proses Model CIPP’ bagi Kategori Luar Sosial Sains; serta
4) Zurina Safee: ‘Study on Concrete with Partial Replacement of Sand by Floral Foam’ bagi Kategori Luar Teknikal.
Untuk rekod, buat julung kalinya, CiE-TVET 2020 diadakan secara telesidang setelah pihak penganjur mengambil kira situasi semasa COVID-19 di negara ini.
Acara tahunan ini tetap berjaya mengangkat kajian dan penyelidikan dalam bidang TVET di peringkat kebangsaan. Malahan, kertas-kertas penyelidikan yang dibentangkan adalah menepati keperluan dalam penambahbaikan institusi pendidikan, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta keusahawanan dan kemajuan penyelidikan secara keseluruhannya.