Politik

Kerjasama BN-PH: UMNO Negeri Sembilan dalam mood bersedia, solidariti

KERAJAAN Negeri Sembilan yang ada kini adalah kerajaan yang ‘zero opposition’, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Justeru berlandaskan kepada senario di Negeri Sembilan yang harmoni, seimbang dan stabil, kata Jalaluddin, sewajarnyalah kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diteruskan bagi pembelaan rakyat yang lebih konsisten.

“Bagi membugar ucapan dasar Presiden berteraskan ‘mempertahankan keindukan demi kestabilan’, saya dan seluruh jentera UMNO Negeri Sembilan sudah berada dalam mood bersedia dan solidariti pada tahap tertinggi bagi memastikan Negeri Sembilan adalah milik Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi, beliau menyahut dengan penuh sedar dan bertanggungjawab bagi memastikan UMNO/BN mampu menjadi penyumbang utama kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.

Beliau juga berkata, hari ini, UMNO sedang menelusuri sebuah penciptaan sejarah baharu dalam lanskap politik tanah air.

Pada hemat beliau, kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan politik dari gabungan Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU 2023) mencerminkan realiti politik Malaysia yang penuh dinamika.

“Realiti politik masa kini membawa kita ke arah pembentukan ‘Unity Government’ bagi menyelesaikan polemik politik yang selama ini merencatkan kestabilan dan menyekat penjanaan ekonomi negara serta rakyat.

“Bagi mengurus segala tohmahan atas keputusan UMNO membentuk ‘Unity Government’ ini, serangan dan propaganda jahat di luar yang menyebut bahawa UMNO telah menggadai perjuangan asalnya tidak diterima.

“Hari ini Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyebut secara terang dan jelas bahawa UMNO tidak akan sesekali mengkhianati amanah agama, bangsa dan tanah air ini,” jelas Jalaluddin dalam kenyataannya.

Beliau berkata, UMNO telah memberi penegasan kepada rakyat dan kepimpinan kerajaan semasa mengenai prinsip parti sebagai pelindung dan benteng kepada asas-asas keindukan bernegara, agar Islam, Institusi Beraja, Melayu/Bumiputera dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan terus dipertahankan dan tidak dipertikai.

“UMNO yang kini tetap sama seperti dahulu dari segi nadi perjuangannya. Ia lahir atas nama kebangkitan rakyat dan maruah negara, tidak akan sesekali membiarkan Malaysia terpalit dengan mainan konflik politik yang akhirnya menghilangkan elemen kestabilan dalam negara,” katanya. – SM

BACA PAU 2023: Selamat maju jaya 10 ahli UMNO

BACA UMNO bukan mengkarung politik

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button