Kereta terbang: Dihina paling tak guna, sedangkan itu untuk usahawan – Dr. Hatta
KUALA LUMPUR – Pemimpin Amanah Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli kesal projek kereta terbang diperlekeh dan dihina sekeji-kejinya sehingga ada yang melabelkan sebagai projek yang paling tidak berguna.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara itu, jika beliau merupakan menteri yang mengemukakan idea tersebut, dia juga akan terasa jika projek kereta terbang dihina.
“Malaysia negara ke depan dengan industri dron, super dron, dekat luar banyak dron berterbangan, ini risau langgar kabel, langgar bangunan, seolah-olah teknologi ini kita tak dapat kita kawal.
“Jadi siapa nak beli ini? Kitalah, ada syarikat-syarikat tempatan kita buat, bila ditanya apa pelan seterusnya? Dia kata air mobility, super dron, boleh bawa kargo dan orang,
“Maka menteri pun kata, ini yang Bumiputera nak buat, tapi diperlekeh, dihina buta-buta sampai paling tak guna projek ini, sedangkan itu untuk usahawan,” katanya pada sesi penggulungan Pidato Presiden pada Konvenseyn Nasional Amanah 2019.
Menurut Hatta, penggunaan dron di negara ini bukan sesuatu asing bahkan kini industri itu dilihat berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.
“Projek kereta terbang paling tak guna, kalau saya menterinya, terasa juga, sebenarnya ada masalah komunikasi sedikit, kalau tak boleh jawab, saya yang terbang,” kata Hatta.
Semalam, perwakilan Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengkritik idea kereta terbang dengan menyifatkannya sebagai projek kerajaan paling tidak berguna kepada rakyat.
Menurut Mohd Fadzli, idea tersebut cukup memalukan penyokong dan ahli PH untuk dipertahankan apabila menjadi bahan sindirian dalam kalangan masyarakat.
“Pimpinan bawah malu muka nak pertahankan kereta terbang, antara program paling tak guna dilakukan kerajaan, malu muka kita nak pertahankan kerajaan,” kata Mohd. Fadzli disambut sorakan perwakilan.
Menurut Hatta, tiada makna PH sebagai kerajaan sekiranya projek kereta terbang berdepan dengan halangan termasuk ketiadaan polisi dan undang-undang untuk pembangunannya.
“Ada halangan? Kita sebagai kerajaan sudah menghadapinya, peraturan, ketinggian mana boleh terbang, macam dan siapa.
“Ini adalah tanggungjawab kerajaan, biarlah kalau itu agensi tak nak buat, tak nak kaji, tak bermakna kita sebuah kerajaan, peluang itu tidak baik,” katanya lagi.
Idea kereta terbang diperkenalkan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan menjadi cemuhan di media sosial apabila projek tersebut sering kali tertangguh pelancarannya.
Apabila diperkenalkan model ‘kereta terbang’ kepada umum ia tidak menepati imaginasi kebanyakkan pihak kerana model ‘kereta terbang’ yang ditontonkan kepada umum lebih menyerupai model sebuah dron yang tidak lagi asing kepada banyak pihak. – SM