Nasional

Kerajaan terpaksa pilih kereta lain kerana Proton Perdana tidak lagi dijual

PROTON Perdana kini tidak lagi dijual dalam pasaran, sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa memilih kereta jenis lain, sebagai kenderaan rasmi menteri dan timbalan menteri.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menjelaskan, ketika kontrak pembekalan kenderaan diumumkan, pihaknya tidak mendapat pengesahan sama ada jumlah Proton Perdana akan mencukupi atau tidak, sehingga pilihan alternatif terpaksa dibuat.

“Ini kerana ada yang tidak tahu bahawa sekarang kereta Proton Perdana tidak jual lagi, itu sebab apabila kita sebut bahawa masih kekal kereta Proton Perdana, mereka mesti bina secara berasingan yang menyebabkan dari segi bekalan (ia) belum pasti.

“Itu sebab kita harus ada pilihan kedua, kerana sebelum ini kerana kita tidak mendapat pengesahan dan apabila kita dapat pengesahan bekalan, baru kita teruskan dengan Proton Perdana,” katanya kepada pemberita selepas lawatan rasmi ke Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) di sini hari ini.

Lim meminta semua pihak untuk tidak membuat andaian yang bukan-bukan, kerana apa yang diperkatakan sesetengah pihak itu adalah sebahagian daripada berita palsu.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kerajaan kini sedang dalam proses melantik sebuah syarikat, membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Laporan itu menyebut janji niaga itu melibatkan 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan.

Sementara itu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata keputusan untuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memangku jawatan Menteri Pendidikan, bukanlah satu masalah.

Katanya, Tun hanya memangku jawatan itu untuk sementara waktu.

“Contohnya, sekiranya saya pergi bercuti, mesti ada menteri ganti, jadi kalau ada menteri ganti, itu hanya sementara sahaja. Jadi perkara itu tidak akan menjadi sebarang isu,” katanya.

Dalam Manifesto Pakatan Harapan menetapkan Perdana Menteri, tidak dibenarkan memegang portfolio lain dalam Kabinet. –  BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button