Kerajaan sepenggal PPBM
SEMALAM, 6 Mei 2021, dalam satu wawancara, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, PPBM akan kalah dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang tanpa sokongan UMNO, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.
Dr. Mahathir kata, “Dalam PRU akan datang, kamu (PPBM) akan kalah kerana UMNO tak sokong kamu.”
Sebelum ini beberapa bulan yang lalu, Isham berkata, beliau telah menyatakan perkara yang sama walaupun ada segelintir pemimpin UMNO yang tidak yakin dengan kemampuan parti sendiri dan berkata sebaliknya iaitu kononnya UMNO tidak boleh menang tanpa PPBM.
“Namun saya pasti hari ini tidak ramai yang percaya bahawa PPBM boleh menang banyak kerusi malah sebarang kerusi pun jika mereka kekal dengan formula mereka untuk bertanding di kerusi-kerusi lompat dan juga mengekalkan jawatan Perdana Menteri kepada parti mereka,” tulis Isham dalam Facebook akaun miliknya.
Hakikatnya, ujar Isham lagi, mereka (PPBM) tidak ada akar umbi, oleh itu tidak ada kekuatan politik dan sokongan rakyat untuk menang pilihanraya.
“Apa yang ada pada mereka adalah jawatan dan sumber kerajaan yang diperolehi melalui pintu belakang dengan melompat parti.
“Namun demikian, jawatan dan sumber ini tidaklah memadai untuk menang pilihanraya.
“Terutamanya apabila mereka (PPBM) kini terpalit dengan pelbagai masalah seperti prestasi buruk dalam menangani krisis Covid-19 dan ekonomi, persepsi rakyat yang negatif terhadap pengkhianat mandat rakyat dan pelompat parti, menipu dan tidak menunaikan janji dan manifesto pilihanraya, kes-kes dan skandal pemimpin-pemimpin PPBM yang terlepas apabila melompat parti, dan sebagainya,” ujar Isham lagi.
Kesan negatif di atas tidak sahaja kena kepada mereka malah mereka juga akan mengheret parti-parti yang menyokong dan bergabung dengan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) menjadi senasib dengan mereka apabila rakyat menghukum mereka dalam pilihanraya nanti, kata Isham.
Pada hemat Isham, tidak ada orang atau parti yang rasional yang akan memikul PPBM dalam PRU-15 nanti untuk tenggelam bersama.
Sebab itu UMNO telah membuat keputusan tidak akan bersama PPBM dalam pilihanraya akan datang.
“Saya tidak rasa ramai orang termasuk pemimpin dan penyokong PPBM sendiri sejujurnya berpendapat bahawa PPBM dan Muhyiddin akan kembali berkuasa dan menjadi Perdana Menteri selepas PRU-15,” tambah beliau.
Jika PPBM teruskan dengan formula di atas, Isham berkata, mereka tahu mereka tidak ada harapan. Mereka tidak ada banyak pilihan lagi.
UMNO telah berpatah arang tidak akan beri laluan kepada PPBM untuk bertanding di mana-mana kerusi UMNO.
Oleh itu pilihan yang mungkin ada harapan untuk kelangsungan (survival) PPBM adalah untuk kembali kepada PH, jelas Isham.
Mungkin sebab itu semalam Mahathir kata kepada mereka, “Jadi lebih baik balik kepada asal.”
Namun jika mereka (PPBM) kembali kepada PH, adakah Anwar Ibrahim akan terima Azmin Ali? Dan adakah PAS akan ikut mereka masuk PH?
Dan siapakah yang akan jadi calon Perdana Menteri (PM) untuk PH? Muhyiddin atau Anwar?
Sekiranya PPBM kembali masuk PH, besar kebarangkalian mereka (PPBM) tidak akan jadi PM.
Oleh itu pilihan ini pun mereka tentunya tidak akan ambil kerana mereka ingin tetap jadi PM walaupun tiada akar umbi, tiada sokongan majoriti dan tiada banyak kerusi.
Mereka akan mencuba nasib.
Sebab itu juga besar kebarangkalian PRU-15 akan datang ini akhirnya akan jadi tiga penjuru jua antara PN, PH dan BN.
Namun mana-mana jalan pun menunjukkan yang PPBM akan menjadi kerajaan sepenggal sahaja. Mereka yang kecil tetapi ego ini akan terhimpit di tengah dua gergasi.
Dan parti PPBM yang ditubuhkan semata-mata untuk menjatuhkan BN dan Najib ini akan terkubur selepas PRU-15.
Inilah sebahagian kifarah yang mungkin mereka perlu bayar kerana telah memfitnah dan kerana telah mengkhianati mandat rakyat sebelum ini, kata Isham di akhir kalam. -SM