Ekonomi

Kerajaan perlu bertindak selamatkan Tabung Haji

Kerajaan digesa bertindak menyelamatkan Tabung Haji ekoran pendedahan syarikat Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) ditubuhkan zaman PH kononnya untuk menyelamatkan institusi penting Islam itu kerugian RM9.95 bilion.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, syarikat itu sendiri seolah-olah kecundang dalam usaha menyelamatkan TH.

KEMISKINAN
– Gambar BERNAMA

Mengikut rancangan asalnya, katanya, UJSB perlu membeli aset lemah TH dengan mandat untuk meningkatkan nilai aset tersebut selama 10 tahun.

“Setakat sekarang, UJSB harus membayar sebanyak RM27.56 bilion kepada TH bagi baki tempoh 9 tahun.

“Namun begitu, kerugian UJSB menimbulkan tanda tanya tentang kemampuan syarikat itu untuk membayar hutang TH. Apatah lagi peranan dan kecekapan UJSB dalam memulihkan situasi kewangan TH telah lama dipersoalkan,” katanya.

Tambah beliau, UJSB membeli aset lemah TH dengan nilai RM19.9 bilion, sedangkan nilai pasaran aset tersebut sepatutnya RM9.7 bilion sahaja.

“Alasan pembelian ini dinyatakan untuk menstabilkan kewangan TH pada akhir 2018. Tetapi, jika benar Kerajaan PH ingin membantu TH, mengapa ia tidak memberikan suntikan terus kepada TH untuk memperbaiki aset lemah ini, dan bukannya menggunakan UJSB sebagai mekanisme untuk mengambil alih aset tersebut?” soal beliau.

Tambahan pula, kata Mohamad, RM19.6 bilion daripada nilai pembelian aset TH adalah daripada sukuk.

“Ini bermakna TH tidak menerima apa-apa wang tunai, melainkan yang berbentuk perjanjian surat hutang dengan UJSB yang sepatutnya dibayar dalam tempoh tertentu.

“Ini menjadikan TH menanggung risiko yang besar jika UJSB gagal menyelesaikan bayaran terjadual tersebut,” katanya.

Beliau berkata, semenjak mengambil alih aset TH, UJSB telah menjual saham-saham aset TH dengan tujuan melabur dalam saham yang lebih berpotensi.

Oleh kerana penjualan saham tersebut dilakukan ketika pasaran lemah, katanya, strategi UJSB ini akan sukar untuk mengembalikan nilai pulangan terbaik kepada TH.

“Ini bermakna, kedudukan kewangan TH dijangka tidak akan mengukuh untuk tahun ini.

“Persoalan sekarang ialah, wajarkah kita terus memberikan kepercayaan kepada syarikat ini untuk menyelamatkan TH?

“Peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif UJSB pada pertengahan 2020 menggoyahkan lagi keyakinan terhadap syarikat tersebut.

“Saya menyeru Kerajaan melihat semula kemampuan UJSB memenuhi mandatnya. Jika perlu penstrukturan semula dilakukan untuk meningkatkan kecekapannya dalam mengendalikan aset TH, maka ia mesti segera dilakukan.

“Saya juga menyeru UJSB terus telus dalam segala keputusan pelaburan dan perniagaan berkaitan harta TH dan dana kerajaan. Tabung Haji adalah institusi terpenting umat Islam dan ia tidak boleh dibiarkan terus melemah dan gagal,” ujar beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button