Politik

Kerajaan negeri PH tidak bubar DUN, jika PN bubar Parlimen

Kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri  (DUN) sekiranya Kerajaan Perikatan Nasional mengambil keputusan untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15.

Keputusan tersebut diambil dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini.

“Majlis Presiden konsisten dengan pendirian bahawa fokus Kerajaan Persekutuan dan Negeri ialah untuk membantu rakyat pasca penularan wabak Covid-19.

“Justeru, kami berpandangan sekiranya berlaku Pilihanraya Umum tergempar sebelum tamat tempoh lima tahun, maka Kerajaan-Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Harapan sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Negeri yang ditabir oleh PH adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan itu, mereka juga membuat keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan komited dengan pendirian asal iaitu Anwar sebagai calon perdana menteri selain membincangkan cadangan pencalonan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

“Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.

“Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada YB DS Anwar Ibrahim untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk YB DS Shafie Apdal bagi menyempurnakan pengembalian mandat tersebut,” katanya.

Selain itu mereka juga sebulat suara menolak usul Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggugurkan Tan Sri Ariff Yusuf sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button