NasionalPolitikUncategorized

Kerajaan Melayu Akan Terus Berpecah Selagi Sistem Politik Ikut Parti Terus Diguna Pakai

Pengumuman UMNO keluar daripada Perikatan Nasional (PN) awal pagi tadi bukanlah sesuatu yang mengejutkan malah ia sudah dijangka oleh segelintir penganalisis politik.

Tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilabelkan sebagai ‘bom jangka’ dan ia terpaksa dilepaskan apabila wujud desakan yang mahu beliau meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Dari sudut Ahmad Zahid, pengumuman yang dibuatnya itu akan mendapat tepukan gembira dan sorakan yang tidak putus-putus daripada ahli parti yang menyokong beliau.

Dari sudut PN, kegoncangan kerajaan pasti akan berlaku apabila salah satu ‘tiangnya’ sudah roboh dan dibawa lari untuk seketika.

Jika tiada u-turn, keputusan UMNO itu adalah kekal selamanya namun jika lakukan u-turn seperti keputusan sebelum ini, biasalah bergaduh adik-beradik.

Secara sosialnya, penulis melihat perangai ahli politik ini adalah sesuatu yang tidak molek dan sangat keji untuk dijadikan contoh seluruh rakyat Malaysia.

Sejak kemerdekaan sehinggalah sekarang, pertelingkahan antara orang Melayu menerusi perbezaan politik sangat mengecewakan kerana tiada perkara yang baik mengenainya.

Kewujudan perbezaan parti politik di Malaysia jelas memberi isyarat bahawa negara ini rela membenarkan rakyatnya bertelagah dengan landasan undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

Kemakmuran antara masyarakat Melayu dan Islam itu diputuskan menerusi perbezaan politik biar pun ahli politik di peringkat atas sebenarnya siap bertepuk tampar dengan nada bergurau sesama mereka.

Yang tidak nampak perkara ini? Sudah pasti akar-umbi atau pengikut setia parti politik secara membuta-tuli kononnya berjuang dengan agama dan bangsa.

JIka berjuang dengan agama dan bangsa, apa yang setiap akar-umbi atau pengikut setia parti politik perlu lakukan adalah mencari titik penyatuan.

Bukannya berbeza pendapat, keluar kerajaan, tinggalkan parti lama, tubuh parti baharu, jalankan kerjasama dengan musuh Islam agar dapat bina kerajaan dan sebagainya.

Sebagai rakyat yang tidak taksub kepada kewujudan parti politik dan melihat penyatuan Melayu dan Islam adalah lebih perlu diutamakan, aspek ini perlu merentasi sempadan politik dan fahaman.

Namun malangnya kadang-kala hajat murni sebegini dibunuh oleh akar-umbi atau pengikut setia parti politik yang kononnya sudah lama bersama parti politik itu.

Yang lama bakal pergi atau mati dan negara ini bakal ditadbir oleh generasi muda yang hidup selaras dengan perjalanan zamannya.

Adakah akar-umbi atau pengikut setia parti politik tahu generasi muda hari ini cukup mual dengan perangai ahli politik dan sistem politik dalam Malaysia?

Sudah tentu tidak kerana masing-masing lebih sibuk untuk pertahankan parti berbanding keperluan masyarakat Melayu dan Islam yang merupakan majoriti di Malaysia.

Ada baiknya Majlis Raja-Raja bersepakat untuk meminda kewujudan sistem politik sedia ada dalam Malaysia jika ia cuma memberi keburukan dan perpecahan.

Rakyat Malaysia terutamanya Melayu dan Islam lebih rela untuk menyanjung kedaulatan raja-raja secara terus menerusi aspek kepimpinan dan pentadbiran negara.

Raja-raja perlu diperlihatkan lebih berkuasa dan digeruni berbanding ahli politik yang kadang-kala lupa mereka berkhidmat untuk siapa dan seterusnya jadi besar kepala!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button