Politik

Rakaman audio: Pemuda UMNO Simpang Renggam rasa ditipu Ahmad Zahid

PERGERAKAN Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam berasa ditipu oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung audio rakaman perbualan Presiden UMNO itu dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021.

Ketua Pemuda UMNO bahagian tersebut, Mohd Faizal Mohd Said berkata, mereka kecewa apabila Ahmad Zahid mengakui bahawa suara dalam rakaman audio yang tular di media sosial adalah miliknya sekaligus

Menurutnya, Ahmad Zahid sebagai presiden sebelum ini telah berbohong kerana menafikan suara tersebut miliknya hingga menyebabkan Pemuda UMNO Simpang Renggam membuat laporan polis pada 10 April di Balai Polis Simpang Renggam.

“Sebagai ahli parti, saya berasa bertanggungjawab membuat laporan polis untuk membersihkan nama presiden parti saya. Ini kerana saya percaya polis akan membuat penyiasatan. Saya anggap audio ini boleh terbawa fitnah. Saya tidak akan bersama-sama dengan orang yang menyebarkan audio ini.

“Namun selepas beberapa bulan Ahmad Zahid mengakui itu suaranya. Saya rasa tertipu sebab dia telah mengeluarkan kenyataan bukan sekadar di mulut tetapi juga berbentuk surat rasmi menafikan suara dalam audio itu miliknya.


“Saya sebagai ahli parti, pada masa itu kita memang berasa bertanggungjawab, sama ada suka atau tidak kepada individu bernama presiden, itu isu lain. Presiden telah mengeluarkan surat rasmi membuat penafian, sebagai ahli parti kita percaya dan taat,” kata Mohd Faizal ketika dihubungi Suara Merdeka.

Dalam satu kenyataan media bertarikh 7 April, Ahmad Zahid telah menafikan sekeras-kerasnya suara dalam audio bersama Anwar adalah miliknya.

Menerusi kenyataan rasmi yang menggunakan kepala surat UMNO, Ahmad Zahid  mendakwa, rakaman audio itu merupakan percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemah dan menghancurkan UMNO.

Namun dua hari lalu media melaporkan Ahmad Zahid mengakui bahawa suara di dalam rakaman telefon yang tular bersama Anwar adalah suaranya.

Menurut sumber Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, presiden parti UMNO itu membuat pengakuan semasa pertemuan yang berlangsung selama lebih dua jam di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan pada malam Isnin.

Serentak pengakuan Ahmad Zahid itu, Mohd Faizal berkata, Pemuda UMNO Simpang Renggam akan menarik balik laporan polis yang telah dibuat hari ini.

“Ini kerana beliau sendiri telah mengakui audio itu adalah rakaman suara beliau. Sebagai seorang ahli kita rasa kecewa dan rasa tertipu dengan presiden kita. Dia menggunakan jawatan presiden untuk menipu.

“Jawatan presiden UMNO bukan digunakan untuk menipu tetapi untuk berkhidmat, menaungi Perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.  Saya rasa diperbodohkan. ” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO Simpang Renggam menuntut supaya Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO. Ahmad Zahid menurut beliau telah menjadi libaliti kepada parti UMNO.-SM

(Visited 287 times, 3 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button