Kerajaan jimat RM600 juta guna solar di bangunan miliknya
PENJIMATAN yang diperolehi dengan penggunaan tenaga solar di bangunan-bangunan kerajaan boleh digunakan untuk kemudahan rakyat.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. Datuk (Dr) Ir. Guntor Tobeng berkata, potensi penjimatan kepada kerajaan sebanyak RM600 juta setahun melalui pemasangan panel solar di bangunan miliknya selama ini.
“Saya ambil daripada belanja mengurus tahun 2020 kerajaan memperuntukan lebih RM3.3 bilion belanja liabaliti.
“Daripada situ 60 peratus adalah bil elektrik atau RM2 bilion. Pada harga 36 sen per kilowatt hour maknanya RM5 juta megawatt hour. Lima juta itu kalau kita bahagi 1,350 kita dapat 4,000 megawatt. Jadi peluang potensi penjimatan kepada kerajaan adalah RM600 juta.
“RM600 juta ini boleh guna buat masjid, boleh buat sekolah, boleh buat hospital, boleh buat vaksin,” kata Guntor.
Beliau berkata demikian dalam sesi webrina bertajuk Solar energy puchasing untuk bangunan kerajaan: Potensi, peluang dan cabaran yang disiarkan di Facebook Jabatan Kerja Raya hari ini.
Menurut Guntor penjimatan itu berlaku sejak 21 tahun lalu dan kerajaan telah melakukan banyak kesedaran mengenai kebaikan penggunaan tenaga solar.
Jelasnya, di Putrajaya sahaja kerajaan telah memasang panel solar yang menghasilkan tenaga elektrik berjumlah 1.3 megawatt.
Menurut Guntor, melalui Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 yang menawarkan kuota 100 megawatt bagi pemasangan panel solar di bangunan-bangunan kerajaan akan memberikan lebih banyak penjimatan.
Malah menurutnya, kuota tersebut juga membuka banyak peluang kepada pemain industri solar.
“Contoh kalau kita ambil pakej ransangan ekonomi, sekolah ada 10,000 di seluruh negara. Kalau kita pasang satu sekolah panel solar 10 kilowatt.Kita bercakap tentang 100,000 kilowatt.
“Katalah kita jual 1 kilowatt kita jual RM40,000 satu sekolah berjumlah RM400 bilion,” katanya.
Tambahnya, projek tersebut akan membuka peluang kepada 1,000 kontraktor elektrik dan mencipta berpuluh ribu peluang pekerjaan.
Gading Kencana mempunyai dua ladang solar berskala besar di Melaka dan Perak dan sedang membina satu lagi ladang solar berskala besar juga di Perak.
Turut menjadi ahli panel Ir. Mohd. Zamri Laton dari Pihak Berkuasa Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) dan Pengarah Urusan GSPARX Sdn. Bhd. Elmie Fairul Mashuri.
Webrina tersebut dihoskan oleh Ir. Dr. Abdul Muhaimin Mahmud dari Jabatan Kerja Raya.-SM