Nasional

Polis nafi dakwaan siasatan kes Datuk Seri cabul anak kandung ambil masa lama

LAPORAN sebuah portal media yang mengatakan pihak pendakwaan dan penyiasatan mengambil masa lama untuk menuduh suspek bergelar Datuk Seri yang didakwa mencabul anaknya adalah tidak tepat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, laporan yang mengatakan pihaknya telah merujuk kertas siasatan kepada pihak Peguam Negara sejak 26 Januari lalu juga tidak betul.

“Kertas siasatan kes tersebut perlu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) beberapa kali memandangkan kes ini telah berlaku sejak 10 tahun yang lalu.

“Kertas siasatan yang lengkap hanya dirujuk kepada TPR dengan cadangan pertuduhan pada 25 Februari lalu.

“Laporan media berkenaan yang mengatakan pihak pendakwaan dan polis mengambil masa dua bulan untuk mendakwa suspek adalah tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya, pertuduhan ke atas suspek akan dilaksanakan pada 23 Mac depan di Mahkamah Jalan Duta memandangkan keadaan kesihatan suspek yang tidak mengizinkan.

Perintah perlindungan (PO) juga akan dipohon selepas pertuduhan dilaksanakan bagi melindungi mangsa dan adik beradik mangsa daripada sebarang gangguan oleh suspek.

“Sebelum ini, mangsa menolak untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) kerana IPO hanyalah untuk diri mangsa sahaja. Mangsa juga mahukan adik beradik beliau juga turut dilindungi,” katanya.

Sebelum ini, polis telah menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa telah dicabul oleh bapa kandungnya sendiri berusia 50 tahun yang bergelar Datuk Seri.

Saiful berkata, kejadian jenayah cabul ini telah berlaku sejak 10 tahun lalu sehingga awal tahun 2021.

“Kes ini telah berlaku dalam jangka masa yang panjang. Siasatan yang teliti dan menyeluruh telah dijalankan dan mengambil masa untuk dilengkapkan,” katanya.

Tambahnya, pada 16 Mac lalu, polis telah menerima arahan untuk pertuduhan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap suspek di bawah Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan. -SM

(Visited 364 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button