Nasional

Kerajaan Hormati Prinsip Kebebasan Media Tetapi Jangan Sampai Langgar Etika – Annuar Musa

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima banyak aduan mengenai pengamal media sejak akhir-akhir ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa, terdapat beberapa pengamal media yang sewenang-wenangnya melanggar etika dan undang-undang negara.

“Saya percaya semua pengamal media mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian sendiri dan kekuatan moral untuk mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan dalam setiap pelaporan berita.

“Meskipun Kerajaan amat menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Annuar berkata demikian mengulas aduan yang diterima SKMM dan ditujukan kepada pengamal media sama ada media konvensional dan juga media dalam talian serta media sosial.

Pelaporan yang melanggar hak orang lain atau melanggar undang-undang tidak seharusnya berlaku dan mestilah dielakkan kerana ia boleh mengakibatkan pihak media berdepan tindakan sivil atau tindakan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code).

“Sewajarnya menjadi tanggungjawab semua pengamal media untuk bersama-sama mendukung prinsip pelaporan berita yang tepat dan beretika sepanjang masa, dan pada masa yang sama akan memberi keyakinan dan meningkatkan integriti pihak media itu sendiri,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button