Kerajaan hari ini perlu ditegur – Hadi
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan hari ini perlu ditegur bagi memastikan ia tidak terpesong daripada memelihara kesejahteraan rakyat.
Menurut Abdul Hadi, kerajaan pada masa ini bukan hanya kerajaan kepada penyokong Pakatan Harapan saja, tetapi kerajaan kepada seluruh rakyat.
Oleh itu, tidak salah, jelasnya jika para pemimpin parti dipihak pembangkang mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu semasa demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Abdul Hadi ketika berucap pada perhimpunan Muafakat Nasional peringkat negeri Perak di Bagan Datuk Perak berkata, kerajaan hari ini dibeban dengan janji-janji yang dibuat sebelum pilihan raya.
Katanya, sebelum ini semua pemimpin parti berjanji dan kini para penyokong menuntut janji yang telah dibuat.
Abdul Hadi dalam pada itu berkata, Muafakat Nasional kini semakin diterima oleh majoriti rakyat dan ia dibuktikan dengan kemenangan dalam lima pilihan raya kecil termasuk yang terkini ialah di Kimanis, Sabah.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan orang Melayu harus mempertahankan tanah air.
“Kita harus bersatu untuk dapatkan kuasa dan memerintah. Tanah air ini tanah air kita,” tegasnya.
Jelas beliau, keutamaan sekarang adalah untuk bersatu atas nama Islam dan kembalikan semangat perjuangan.
“Sinonimnya Islam dengan Melayu sehingga kuatnya orang Islam ini… sehingga kita sebut orang Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Begitu sekali rapatnya Melayu dengan Islam,” ujarnya.
Tegasnya, orang Melayu ini semangatnya laju lantas perlu bangkit semula dan sedarkan anak-anak Melayu betapa pentingnya politik ini demi perjuangan Islam.