Hiburan

Kenapa perlu serang Aishah?

SELEPAS penyanyi Aishah tampil mendendangkan lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aku Bidadari Syurgamu pada peringkat semi final atau separuh akhir program Muzik-Muzik TV3, ada segelintir manusia di luar sana yang tidak puas hati dengan Aishah.

Entah mengapa Aishah diserang di media sosial oleh individu yang bersifat seolah-olah dia mengenali penyanyi yang terlebih dahulu mencipta nama dalam industri muzik tanah air.

Sejajar dengan faktor umur Aishah, pastinya beliau berpengalaman dalam bidang seni suara.

Bahkan beliau juga pernah menggenggam anugerah yang dinobatkan kepadanya pada program Muzik-Muzik suatu ketika dahulu.

Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan, individu yang menghentam dan menyerang Aishah itu mungkin usianya setahun jagung. Dalam erti kata lain, ketiak jagung!

Setiap orang berhak untuk menyampaikan pandangan atau pendapat masing-masing tetapi biarlah lontaran itu berhemah. Bukan mencerminkan ketiadaan intelektual.

Gaya nyanyian atau penyampaian ataupun lantunan seseorang penyanyi itu bergantung kepada diri penyanyi itu sendiri kerana semua orang ada gaya tersendiri.

Tidak perlu menyanyi atau melantunkan sesebuah lagu itu mengikut gaya atau lenggok penyanyi asal.

Tidak perlu taksub bab-bab begini kerana serangan yang ditujukan kepada Aishah amatlah tidak wajar dilakukan oleh individu berkenaan.

Sebagai insan biasa, Aishah juga mempunyai tahap kesabarannya dan beliau juga adakalanya melayan netizen yang kurang pengetahuan dan kurang cerdik walaupun individu berkenaan berlagak cerdik dengan Aishah.

Memang benar kata Aishah, individu yang menyerangnya itu seolah-olah lebih mengenali dirinya.

Bukan mahu mencabar tetapi Aishah mengajak individu yang menyerangnya agar tampil bersemuka dengan beliau.

Yalah..banyak yang ingin diperkatakan oleh individu berkenaan terhadap Aishah, mengapa ditulis di media sosial? Bukankah lebih baik berjumpa dengan Aishah, bersemuka empat mata dan nyatakan depan muka Aishah, “Suara Aishah tak sedap!” Cakap terus terang dan dengan apa jawapan Aishah.

Ramai yang berani baling batu sembunyi tangan. Kalau penyanyi asal mengatakan dia merasakan satu penghargaan buat dirinya apabila Aishah sudi melantunkan lagu itu di peringkat semi final Muzik Muzik, apa masalah individu yang menyerang Aishah?

Jangan jadi masyarakat yang tidak beradab kalau kita Orang Timur! Secara sembrono individu ini melabelkan Aishah sombong.

Satu tuduhan terhadap Aishah yang dilontarkan oleh individu itu, kalau tidak betul, apakah hukumnya?

Sedar atau tidak, apabila Aishah dipilih untuk melantunkan lagu berjudul Aku Bidadari Syurgamu, ia adalah satu tanggungjawab yang perlu digalas dengan baik oleh Aishah.

Bukannya soal dapat tampil atas pentas Muzik Muzik, bukan juga soal dapat nyanyi lagu Siti Nurhaliza tapi soalnya ialah tanggungjawab. Itu yang dipikul oleh Aishah.

Semestinya Aishah melakukannya dengan terbaik kerana amanat yang perlu dilunaskan oleh beliau.

Itu yang seharusnya difahami oleh individu yang menyerang Aishah atau netizen yang tergolong dalam golongan haters.

Pada malam semi final Muzik-Muzik, dua lagu Siti Nurhaliza masuk semi final dan sebuah lagi lagu dinyanyikan oleh Shiha dengan cara penyampaian lagu itu mengikut cara Shiha.

Tiada salah… asalkan dilantunkan dengan baik tiada sumbang mambang.

Mana-mana peminat dari mana-mana penyanyi, cubalah celik dan cerdik. Tidak perlu menghentam mana-mana artis atau penyanyi tanpa mempunyai substance yang kukuh! – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button