NasionalUncategorized
Trending

Kenapa berbeza tindakan menteri dalam isu tanglung, Jawi

TINDAKAN Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah dan enam menteri dan seorang timbalan menteri hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 semata-mata mahu menunjukkan sokongan terhadap hiasan Tahun Baharu Cina yang dianggap keterlaluan oleh ibu bapa terus dipertikai.

Penyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Ahmad Sanusi Azmi berkata, sokongan yang sama oleh menteri berkenaan tidak pula kelihatan dalam isu tulisan Jawi.

Selain Dr. Wan Azizah, turut hadir di sekolah itu semalam adalah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli; Dr. Xavier Jayakumar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof dan Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah.

Juga hadir memberikan sokongan adalah Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, Exco Negeri Selangor Dr. Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Dr. Mahanom Mat Sam.

Sebelum ini Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima aduan ibu bapa berkaitan perhiasan sambutan Tahun Baharu Cina di sekolah tersebut yang dikatakan keterlaluan.

Mohd. Khairul yang juga Pengerusi Biro Aduan Awam dan Undang-Undang Putra telah menulis surat kepada pengetua seekolah tersebut, Rohani Mohd. Nor mengenai aduan tersebut. Berikut pendapat penuh Dr. Ahmad Sanusi yang disiarkan dalam Facebook beliau.

Tanglung lebih utama dari Jawi?

TUJUH Menteri Kabinet dilaporkan turun ke sebuah sekolah di Puchong untuk memberikan sokongan terhadap pemasangan tanglung setelah perhiasan Tahun Baru Cina tersebut mendapat bantahan dari netizen.

Ketika netizen mempersoalkan pemasangan perhiasan berlebihan ini, tujuh orang Menteri Kabinet sanggup turun memberikan sokongan terhadap isu ini. Tanglung dikatakan membawa kepada perpaduan.

Apa yang menyedihkan, sokongan yang sama tidak kelihatan ketika 900 SJKC membantah pembelajaran yang melibatkan elemen Jawi di sekolah. Bahkan Jawi dikatakan menimbulkan unsur Islamisasi bahkan menakutkan kaum lain.

Pada pengamatan umum, orang Melayu sebenarnya tiada masalah pun dengan perhiasan tanglung ini. Namun apabila Jawi dibantah secara besar-besar oleh DAP, MCA mahupun Gerakan, isu ini semakin menimbulkan kegelisahan.

Perhatikan betapa konsistennya DAP dan MCA membantah isu Zakir Naik, sehingga Naib Canselor UNIMAP digesa untuk dipecat. Dalam isu ini, pemimpin Muslim seakan terkulai layu. Sokongan yang ditampilkan tidak seperti menjulang pemasangan Tanglung ini.

Perhatikan isu kematian Adib. Sokongan Rahmatan menjulang tangan erat padu bersama pemimpin kuil. Nyawa seorang Muslim yang terkorban itu sehingga kini menjadi persoalan buat keluarga yang menuntut keadilan.

Adakah ini konsep Rahmatan yang ingin dibawa? Menawarkan kelunakan yang tinggi dalam isu orang lain, namun dalam isu yang memburukkan Islam, kita seakan layu, diam seribu.

Semoga Allah membantu kita mempertahankan hak Islam dan Muslim.

— Dr Ahmad Sanusi Azmi ialah pensyarah kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM dan Felo Pelawat Oxford Centre for Islamic Studies

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button