Kempen Beli Barangan Malaysia, Program Jualan Malaysia diperhebat – PM
Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang telah dilaksanakan akan diperhebatkan pada tahun hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program berkenaan sebagai langkah bagi menyokong pemulihan dan pemerkasaan semula sektor perdagangan dalam negeri.
Menurutnya, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM33 juta di bawah Bajet 2022 khusus untuk merancakkan semula sektor perdagangan pengedaran.
“KBBM telah mencatatkan impak positif kepada ekonomi domestik. Nilai jualan barangan buatan Malaysia bagi tahun 2020 telah berjaya mencecah RM3.3 bilion berbanding RM2.87 bilion pada tahun 2019. PJM pula turut mencatatkan prestasi seperti yang disasarkan.
“Sasaran nilai jualan sebanyak RM100 bilion pada suku keempat tahun 2020 telah berjaya dicapai dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM135.9 billion,” katanya pada Majlis Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) 2020 di ibu negara malam ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa supaya sektor perdagangan di negara ini perlu berani untuk mengoperasi semula (reboot) dan melaksanakan amalan terbaik dalam industri, terutama mengguna pakai teknologi pendigitalan.
Menurut Ismail Sabri, pendigitalan menjadi fokus utama kerajaan untuk tahun mendatang dan usaha mempercepatkan agenda itu memerlukan pembabitan industri.
“Konsep perniagaan secara ‘omni channel’ dan fokus kepada ekonomi sentuhan rendah perlu diberi penekanan.
“Sudah pasti kedua-dua agenda ini memerlukan pemain industri untuk menerima dan mengguna pakai teknologi serta digitalisasi dengan lebih meluas,” katanya.
Antara usaha kerajaan bagi mempercepat agenda digitalisasi adalah melalui kewujudan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).
Pusat tersebut bagi melahirkan dan memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk mendigitalkan perniagaan usahawan, dalam usaha memulih serta menjamin ketahanan ekonomi negara pasca COVID-19.
Proses pemulihan ekonomi negara dimulakan kerajaan melalui strategi pelaksanaan Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), yang diumumkan baru-baru ini.
APDN 2020 julung kali diadakan sebagai tanda penghargaan Kerajaan atas peranan penting yang dijalankan oleh pemain-pemain industri sebagai barisan hadapan ekonomi domestik negara.
Sebanyak 25 kategori anugerah diberikan meliputi Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS), Kedai Harga Patut, Francais, Jualan Langsung, Peruncitan, E-Dagang, Media dan Stesen Minyak.
Pada majlis tersebut Perdana Menteri turut menyampaikan lima Anugerah Perdana.
Kategori PKS dimenangi oleh Syarikat Fatihah Frozen Food Sdn Bhd. yang mendapat Anugerah SKU/Produk Terbaik, kategori Peruncitan dimenangi oleh Mydin Mohamed Holdings Berhad yang menerima Anugerah Penyertaan Terbaik.
Kategori E-Dagang dimenangi oleh Lazada Malaysia yang menerima Anugarah Pengendali Pasar Dalam Talian Terbaik, Kategori Francais dimenangi oleh Global Art & Creative Sdn. Bhd yang menerima anugarah Francais Terbaik Dalam Negara.
Sementara Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd menerima Anugarah Kedai Serbaneka Stesen Minyak Tebaik bagi kategori Stesen Minyak.-SM