Nasional

Kementerian rangka Dasar Ekonomi Rahmah, tingkatkan taraf hidup B40

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang merangka Dasar Ekonomi Rahmah bagi meningkatkan taraf hidup golongan B40 dan miskin tegar, kata menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata dasar itu selaras dengan komitmen dan usaha Kerajaan Perpaduan untuk membasmi kemiskinan tegar tahun ini.

Menurut Salahuddin, ia dijangka siap pada September dan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri untuk dibincangkan.

Beliau berkata ia akan menjadi dasar konstruktif di peringkat kementerian untuk terus membantu golongan sasar terutamanya dari aspek ekonomi.

“Pertama sekali, Kementerian tidak lagi hanya membantu mereka melalui inisiatif sekali sahaja atau bermusim seperti Inisiatif Payung Rahmah. Kedua, kita akan melihat bagaimana subsidi yang sebahagian besarnya diperuntukkan oleh kerajaan, sampai kepada kumpulan sasar.

“Ketiga, Kementerian akan menumpukan kepada pembangunan kesejahteraan ekonomi rakyat, mungkin melalui program sedia ada seperti perniagaan dalam talian dan francais di peringkat kementerian serta Inisiatif Daya,” katanya kepada Bernama di sini malam tadi.

Salahuddin ditemui selepas muncul sebagai panel pada forum bertajuk “Mengurus Kos Sara Hidup, Meningkatkan Kemakmuran Rakyat” di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Beliau berkata, Dasar Ekonomi Rahmah juga dirangka untuk membantu mencapai matlamat Dasar Ekonomi Negara, sekali gus meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar negara.
Anwar sebelum ini menegaskan kemiskinan tegar di negara ini harus dihapuskan menjelang akhir tahun ini. -SM

Baca juga : Kita bukan negara ketiga, menteri seolah-olah “above the law”; Annuar Musa

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button