Nasional
Kementerian laksana pelbagai pendekatan elak guru bersara awal
Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pelbagai pendekatan serta mekanisme untuk menaikkan semangat dan motivasi guru bagi mengelakkan mereka daripada terus memilih untuk bersara awal.
Memetik BERNAMA, menterinya, Fadhlina Sidek berkata KPM memandang serius terhadap isu itu namun tetap memberikan ruang sepenuhnya kepada guru terbabit membuat keputusan selepas intervensi dilakukan.
“Kita sentiasa membuat pelbagai mekanisme untuk memberikan semangat kepada mereka, ini merangkumi program yang bersifat psikometrik, sokongan dan dukungan begitu juga dengan pengurusan berkaitan dengan kenaikan pangkat.
“Jadi dari semasa ke semasa sememangnya ada program itu, tetapi saya fikir yang hendak bersara awal maknanya mereka memilih bersara awal atas alasan kuat seperti masalah kesihatan, tidak berminat (meneruskan kerjaya) serta berkeluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan tinjauan mesra di Pasar Malam Sungai Duri di Nibong Tebal semalam.
Turut hadir calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin yang berkempen menyantuni pengunjung di pasar malam itu. – SM