Nasional
Kementerian Kesihatan giat adakan perbincangan untuk pelaksanaan sistem DRG
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang dalam perbincangan mengenai pelaksanaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) bagi meningkatkan ketelusan caj rawatan pesakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kementerian sedang giat mengadakan perbincangan mengenai pelaksanaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG).
Katanya, pelaksanaan DRG itu akan membantu mengatasi isu kos perubatan yang menjadi antara punca kenaikan premium insurans perubatan selain memastikan ketelusan caj rawatan pesakit.
“Dengan sistem DRG, kita akan dapat mengamalkan satu pendekatan yang memastikan bayaran di hospital swasta menjadi lebih terkawal, dan dengan itu, kita dapat mengelakkan inflasi yang melampau dalam kos rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan KKM sedang sedang mengkaji pembangunan sistem DRG kebangsaan dalam perawatan hospital seluruh negara.
Kementerian itu melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat bulan lalu menegaskan hal itu membolehkan hospital universiti, hospital tentera dan swasta mengadaptasi penggunaan sistem tersebut dalam menentukan kos (rawatan pesakit) supaya tidak berlebihan.
Sementara itu Dr Dzulkefly menegaskan kaedah DRG sudah banyak dilaksana di negara-negara maju sebagai cara untuk melakukan kawalan harga dalam setiap prosedur.
“Dengan ini tiada siapapun yang akan boleh mengenakan bayaran yang dianggap sebagai sesuatu yang terlalu mahal,” katanya.