Nasionalpilihan

Kemenangan Rais Yasin di Tangga Batu dibatalkan JPU

Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023 membatalkan kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu menewaskan penyandang,
Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian itu 18 Mac lalu.

Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Abdul Latip Mohamad berkata, beliau menerima surat memaklumkan mengenai perkara tersebut menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 2.26 petang
tadi.

Menurutnya, JPU telah menerima aduan ketidakteraturan perjalanan mesyuarat dan proses pemilihan UMNO Bahagian Tangga Batu yang telah diadakan di Hotel LaCrista.

“Setelah penelitian dibuat terhadap aduan tersebut Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 telah membuat keputusan dan ketetapan bahawa pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian
Tangga Batu adalah tidak sah,” ujarnya di sini hari ini.

Pada pemilihan tersebut Rais yang juga bekas Ketua Pemuda Bahagian itu memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali dengan 278 undi serta menang dengan kelebihan empat undi.

Seramai 568 perwakilan menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu.

Susulan kemenangan Rais itu, beliau telah dilantik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang baharu menggantikan Mohamad Ali.

Mengulas lanjut Abdul Latip berkata, UMNO Bahagian Tangga Batu diarahkan untuk mengadakan pemilihan semula hanya bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian itu sahaja.

Menurutnya, calon-calon yang bertanding perlu menggunakan nombor calon yang sama termasuk senarai perwakilan yang sama untuk proses pemilihan semula.

“Tarikh, masa dan tempat pemilihan semula bagi jawatan berkenaan akan dikendalikan Badan Perhubungan UMNO negeri dengan dipantau oleh JPU Melaka,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button