Kemboja benarkan 1,000 penumpang, anak kapal turun dari Westerdam
SEJAK tiga hari lalu, seramai 1,010 daripada 2,257 penumpang kapal persiaran Westerdam dibenarkan turun dari kapal berkenaan, kata Kementerian Kesihatan Kemboja dalam satu kenyataan pada Isnin lapor agensi berita Xinhua.
Kumpulan pertama terdiri 409 penumpang dibenarkan meninggalkan kapal itu pada Jumaat, dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal masing-masing.
Seramai 601 lagi dibenarkan meninggalkan kapal itu pada Sabtu dan Ahad.
Pihak berkuasa kesihatan menyediakan pemeriksaan kesihatan kepada penumpang Westerdam yang masih berada dalam kapal berkenaan dan di Phnom Penh.
Holland America Line, pengendali Westerdam, dalam satu kenyataan berkata tetamu Westerdam yang berada di sebuah hotel di Phnom Penh, selesai menjalani pemeriksaan untuk mengesan COVID-19.
“Tetamu yang disahkan tidak dijangkiti dibenarkan pulang ke rumah dan urusan penghantaran sedang dibuat,” tambah kenyataan itu.
Pemeriksaan rapi dilakukan ke atas penumpang lain susulan seorang wanita diuji positif dijangkiti COVID-19 semasa transit di Malaysia.
Wanita Amerika berusia 83 tahun itu dilaporkan dalam keadaan stabil manakala suaminya didapati negatif COVID-19.
Kementrian Kesihatan Kemboja berkata setakat ini tiada rakyat Kemboja yang dijangkiti virus itu.
Kemboja membenarkan kapal Westerdam berlabuh di Sihanoukville pada Khamis. Sebelum ini beberapa negara termasuk Thailand, Jepun, Taiwan, Guam dan Filipina tidak membenarkan kapal berkenaan berlabuh.
Penumpang dibenarkan meninggalkan kapal tersebut sejak Jumaat selepas 20 penumpang yang sakit diuji negatif untuk virus itu. – BERNAMA