Nasional

Kembali kepada tradisi pelantikan Duta, Pesuruhjaya Tinggi

Pelantikan dalam kalangan PTD yang berkhidmat di Wisma Putra

SECARA tradisi, pelantikan Duta atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia adalah dalam kalangan kakitangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang berkhidmat di Wisma Putra atau Kementerian Luar.

Pelantikan dibuat setelah diambil kira tempoh perkhidmatan yang bertahun-tahun, kenaikan pangkat sehinggalah sampai ke tahap Duta.

Tidak kira sama ada pelantikan Duta itu ditempatkan di negara-negara Asia, Asia Tenggara ataupun ke Eropah dan Amerika Syarikat.

Demikian pandangan Presiden Putra Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Menurut beliau, pelantikan Duta mestilah yang terbaik demi kepentingan negara, bukannya dilantik sesuka hati ataupun sebagai sebahagian daripada habuan politik.

“Menjadi Duta memerlukan kemahiran diplomasi, penguasaan bahasa antarabangsa dan berpengetahuan dalam bidang geo politik serta ekonomi global,” katanya sambil menambah, pengetahuan tentang perkembangan sains, teknologi dan digital sebagai satu kelebihan yang ada pada seseorang Duta.

Ibrahim dalam kenyataanya berkata, malangnya pelantikan Duta di Malaysia menjadi lintang pukang, caca-marba.

“Segala-galanya dibuat atas perhitungan kepentingan politik parti dan permainan politik yang berkuasa.

“Tengok sahajalah apa perlunya pelantikan Duta-Duta Khas dari kalangan ahli politik. Duta khas Timur Tengah, China dan India. Apakah peranan mereka ini sehingga bertaraf Menteri?” soal Ibrahim.

Beliau berkata, pelantikan itu diumpamakan sebagai satu pembaziran wang rakyat atau wang negaa.

“Memang GILA. Mereka mempunyai pegawai-pegawai seperti Menteri dan pejabat serta lain-lain kemudahan.

“Sepatutnya dibuat forensic audit terhadap perbelanjaan mereka dan prestasi pencapaian untuk negara,” ujarnya.

Justeru kata Ibrahim, PUTRA mencadangkan dan mengesa dijadikan Dasar Wajib, mengharamkan pelantikan duta-duta atau Persuruhjaya Tinggi dan Kaunselor –Kaunselor dari kalangan ahli-ahli politik.

“Ia wajib dalam kalangan PTD yang berkhidmat dengan Wisma Putra berdasarkan sistem perkhidmatan dan protokol yang diamalkan selama ini,” katanya.

PUTRA juga kata Ibrahim lagi, mendesak dan memansuhkan dasar melantik Duta-Duta Khas dari kalangan ahli-ahli politik bertaraf Menteri.

“Ini kerja Gila. Kerajaan boleh melantik utusan khas atas urusan tertentu mengikut keperluan atas perkara-perkara penting secara spesifik.

“Contohnya, menjadi wakil kerajaan bagi merunding perkara tertentu dan bukan bergaji tetap, bukan berjawatan tetap, tanpa pejabat dan tanpa kakitangan.

“Tidak perlu pembaziran wang rakyat yang diperlukan banyak lagi untuk perkara-perkara yang lebih penting. Hentikanlah kerja pembaziran,” jelas Ibrahim. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button