Kemasukan Kes Covid-19 Kategori 3 – 5 Di Hospital Berkurangan – MKN
Biar pun terdapat peningkatan kes harian Covid-19, strategi pemberian dos penggalak dan langkah kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya menurunkan kemasukan kes Covid-19 kategori 3 – 5 di hospital.
Kenyataan itu dikeluarkan Majlis Pemulihan Negara (MKN) setelah mendengar taklimat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung situasi dan perkembangan terkini Covid-19 terutamanya penularan varian Omicron.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia antara negara yang mempunyai peratusan tertinggi lengkap vaksin di dunia dengan 98 peratus populasi dewasa dan lebih 78 peratus populasi negara telah lengkap menerima dos vaksin.
“Lebih 50 peratus populasi dewasa juga telah menerima dos penggalak mereka. Ini telah membantu meringankan beban ke atas sistem kesihatan negara.
“Pemberian vaksin penggalak, remaja dan kanak-kanak akan dipertingkatkan setelah mengambil kira kemunculan varian Omicron,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, MKN turut melantik Tan Sri Datuk Seri Dr. Sulaiman Mahbob sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara berkuatkuasa 1 Februari 2022.
Antara tugasan Sulaiman menerusi MKN adalah mengetuai pasukan dalam penggubalan halatuju dan strategi Pelan Pemulihan Negara 2.0.