BanjirNasional

KEMAS gerakkan 1,256 kakitangan sukarelawannya

JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menggerakkan misi bantuan pasca banjir ke negeri-negeri terjejas membabitkan 1,256 kakitangan sukarelawannya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, misi bantuan di bawah program KEMAS Prihatin itu dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini.

“Kita menggerakkan inisiatif bantuan ini bukan hanya untuk kerja-kerja pembersihan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS yang terjejas dilanda bencana banjir tetapi juga rumah-rumah penduduk yang berhampiran.

“Kita berharap dengan bantuan yang digerakkan ini akan membolehkan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS bersedia menerima kemasukan anak-anak kerana tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Ringkas Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir KEMAS Prihatin di Institut Kemajuan Desa, INFRA, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Menurut Mahdzir lagi, sejumlah 207 premis Tabika, Taska dan Pusat Kegiatan KEMAS di seluruh negara dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir kali ini.

 

Paling teruk terjejas, premis Tabika KEMAS di Selangor dengan jumlah 111 premis dan di Pahang, 58.

Manakala sejumlah 357 kakitangan KEMAS sendiri turut menjadi mangsa bencana banjir di seluruh negara.

Tambah beliau, sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan itu pula dikumpul dari seluruh negara.

Antara kawasan tumpuan misi bantuan pasca banjir itu termasuk ke Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Klang dan Pahang.

“Saya mengucapkan tahniah atas kesediaan semua sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan ini dan ini juga merupakan satu ibadah kepada kita dalam membantu melapangkan kesusahan orang lain,” kata Mahdzir. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button