NasionalNegeri

Kem Belia Antarabangsa Al Khaadem dihadiri 360 peserta 18 negara

Momentum Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 terus diperhangatkan lagi dengan kehadiran 360 peserta dari 18 negara menghadiri Kem Belia Antarabangsa Al Khaadem di Perlis mulai 18 sehingga 25 Disember ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah kepada para peserta di Kem Belia Antarabangsa Al Khaadem.

Program tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Al Khaadem dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra, Arau, Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyantuni para peserta ketika mereka mendaftarkan di Pusat Islam PTSS.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Presiden Pertubuhan Al Khaadem, Datuk Sheikh Hussain Yee, Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bergambar dengan para peserta di Kem Belia Antarabangsa Al Khaadem.

Selain daripada Malaysia, turut mengambil bahagian ialah para peserta dari Australia, Brunei, China, Mesir, Fiji, Jerman, Hong Kong, India, Indonesia, Kiribati, Kuwait, Maldives, Pakistan, Papua New Guinea, Arab Saudi, Singapura dan United Kingdom.

Para peserta terdiri daripada golongan muda yang berusia dari 10 sehingga 18 tahun.

Hussain Yee dalam sembah maklum kepada Raja Muda berkata, tujuan utama penganjuran kem belia ini adalah untuk menyemai adab dan nilai-nilai murni serta pengetahuan universal Islam ke dalam jiwa dan minda anak-anak supaya mereka akan menjaga diri mereka dari segala pengaruh negatif.

Di samping itu katanya, untuk menyemai nilai-nilai kekeluargaan dan membentuk watak anak muda menjadi anak yang soleh serta solehah.

Pelbagai aktiviti fizikal yang menarik dan pengisian ilmu serta kerohanian yang dibuat sepanjang tempoh kem ini berlangsung di beberapa lokasi menarik di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang DiPertua MAIPs sangat mengambil berat tentang sektor pelancongan di negeri ini menzahirkan rasa sukacita atas pemilihan negeri Perlis buat tahun keduanya sebagai lokasi penganjuran kali ini.

Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan berinteraksi dengan sebahagian peserta Kem Belia Antarabangsa Al Khaadem.

Titah Baginda, sekaligus ini bagi menunjukkan tanda sokongan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa terutama sekali untuk menyambut baik kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 menjelang beberapa hari sahaja lagi dari sekarang. – SM

BACA ‘’Suara belia perlu didengar’’- Tengku Amir

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button