Nasional

Keluarga Allahyarham Mohd. Azizan Baba terus dibantu

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 6 April – Kerajaan negeri akan terus membantu Yusriati Mohd. Yunos, balu Allahyarham bekas pemain
bola sepak Melaka, Allahyarham Mohd. Azizan Baba yang meninggal dunia akibat kanser pada 22 Mac lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau amat prihatin dengan keluarga Allahyarham terutama lapan orang anaknya berusia antara dua hingga 15 tahun.

Menurutnya, bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diuruskan bagi meringankan beban balu
Allahyarham untuk menyara lapan anak iaitu lima lelaki dan tiga perempuan.

“Apa sahaja keperluan yang diperlukan oleh keluarga Allahyarham akan kita bantu dan jika ada keperluan
melalui agensi kerajaan negeri untuk menjadikan anak-anak arwah sebagai anak angkat.

“Saya juga akan mencadangkan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk membantu keluarga Allahyarham
kerana jasa dan bakti yang dicurahkan sewaktu menjadi pemain dan jurulatih kelab ini.

“Hari ini pejabat Ketua Menteri dan Perkeso menyampaikan faedah Penakat berjumlah RM867.30 sebulan
sepanjang hayat dan faedah pengurusan jenazah secara one-off sebanyak RM2,000,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan daripada Perkeso kepada Suriati
bersama lapan orang anaknya di Kampung Bakar Batu, Bachang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Perkeso negeri, Abd. Razak Omar.

Sulaiman berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat bola sepak Melaka kerana arwah
pergi buat selama-lamanya dalam usia 40 tahun.

Menurutnya, sejak arwah mula ditimpa sakit, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) telah menghulurkan
bantuan buat membiayai kos rawatannya.

Katanya, sewaktu arwah meninggal dia tidak dapat menziarah kerana ketika itu sedang menjalani kuarantin
kendiri.

Sementara itu, Yusriati berkata, dia mengucapkan terima kasih atas keprihatian kerajaan negeri dan Perkeso
yang menguruskan pelbagai faedah bagi meringankan bebannya.

“Sebenarnya saya tak tau nak cakap apa, melainkan memanjatkan rasa syukur atas kesudian ramai pihak
membantu saya serta anak-anak setakat ini,” ujarnya.

Mengenai sambutan Ramadan dan Aidilfitri katanya, tahun ini adalah paling suram setelah ketiadaan suaminya
dan anak-anak amat merasakan kehilangannya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button