Kejadian berbalas tembakan di sempadan berlaku secara spontan
KEJADIAN tembak menembak antara dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kumpulan penyeludup dadah di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi semalam berlaku secara spontan.
Anggota polis dan penyeludup terkejut melihat kehadiran masing-masing di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis kira-kira pukul 2.30 pagi.
Ketika kejadian dua anggota PGA itu dalam operasi perisikan dengan bersenjatakan pistol dan menunggang motosikal.
Apabila tiba di satu kawasan belukar serta denai di kawasan ladang getah menuju ke tembok sempadan mereka berjalan melalui denai itu.
“Mereka kemudian berjalan di denai sebelum terserempak dengan kumpulan itu yang membawa guni mengandungi daun ketum dan ubat batuk,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sidang akhbar khas di Bukit Aman.
Dalam kejadian itu Kopral Baharuddin Ramli, 54, maut terkena tembakan di rusuk kanan.
Mangsa sempat meminta rakannya Kpl Norihan a/l Tari, 39, meminta bantuan dari pos kawalan TS9, menyebabkan Norihan yang sudah cedera kerana terkena tiga das tembakan bergegas kembali ke motosikal mereka dan menunggang ke pos kawalan berkenaan.
Abdul Hamid berkata pasukan bantuan yang tiba di lokasi kejadian setengah jam kemudian mendapati Baharuddin, Orang Asli dari suku kaum Semelai, telah terbaring dan meninggal dunia dalam keadaan pistolnya berada di bahu dan kehabisan peluru.
“Kecederaan Norihan pula ialah dua dari peluru terkena ususnya namun beliau kini stabil di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis,” katanya.
Abdul Hamid berkata pasukan komando VAT69 yang turut dikerah ke lokasi kejadian bersama pasukan bantuan dari PGA berjaya menahan dua suspek lelaki warga Thailand, dengan salah seorangnya ditahan berdekatan lokasi kejadian.
Beliau berkata jasad Baharudin di bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah dan seterusnya ke Kem 3 Batalion PGA di Bidor Perak sebelum disemadikan mengikut istiadat rasmi PDRM di Kampung Sampo, Bahau, Negeri Sembilan.
Abdul Hamid turut menjelaskan sindiket penyeludupan dadah itu dipercayai beroperasi dengan cara pertukaran barang iaitu menyeludup ke dalam negara ini dadah, antaranya heroin dan syabu dari Thailand, dan membawa daun ketum dari negara ini ke Thailand.
“Polis sedang memburu tiga rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan dan polis juga sudah mengenal pasti tujuh sindiket penyeludupan yang bergiat di kawasan itu,” katanya. – SM