Kehadiran dan komitmen jentera parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) bagi memenangkan calon yang dipertaruhkan, jelas membuktikan keutuhan kerajaan.
Memetik BERNAMA, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, ia sekali gus mengenepikan tohmahan pihak tertentu bahawa hubungan parti dalam Kerajaan Perpaduan berpecah-belah dan tidak saling membantu dalam PRK berkenaan.
“Malam ini terbukti, mereka ini berkumpul sebenarnya daripada pelbagai parti yang ada dan kita harap ini berterusan malah matlamat kita semua dalam gabungan juga jelas untuk memenangkan calon daripada Kerajaan Perpaduan dan kita lihat momentum sokongan itu semakin baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perpaduan Sempena Hari Pekerja di Rasa, Batang Kali, yang turut hadir Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan, malam tadi.
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dalam masa sama yakin masyarakat India di Kuala Kubu Baharu tidak mudah terpedaya dengan dakyah mana-mana pihak yang menyeru pengundi India memboikot dan merosakkan undi dalam PRK itu.